Saturday, January 29, 2011

Kemusykilan dan Motivasi Remaja plus Pluralisme

**Sebelum saya menyambung tulisan mengenai Mat Som (episod 2) dan Budak Kampung, saya ada buku yang mahu disyorkan dalam entri kali ini.**

Perkara ini sudah berlaku agak lama sebenarnya. Cuma kini saya berasa makin kerap pula. Makin sering ia diulang-ulang, dijaja-jaja. Dan seolah telah menjadi wabak yang lekas pula merebakkan virusnya.

Perkara yang saya maksudkan adalah rancangan berunsur keagamaan di kaca tv. Tak kiralah rancangan di tv percuma atau berbayar, benda yang sama juga berlaku.

Jika diperhatikan program-program yang berbentuk kerohanian di dalam negara kita kini seolah mengalami suatu macam transformasi. Perubahan yang bagi saya tak ada baiknya.

Kenapa?

Thursday, January 27, 2011

Mat Som - Datuk Lat (episod 1)


Jika mahu dihitung statistik rakyat Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya satu laman blog sendiri, saya tidak jumpa lagi angka yang tepat. Tapi menurut laman Internet World Stats, pengguna internet di Malaysia pada tahun 2009 berjumlah 16 juta 902 600. Dan pasti angka itu makin meningkat kini.

Bermakna rakyat Malaysia kini telah ramai yang menggunakan internet untuk mendapatkan sesuatu. Sama ada membeli barang, urusan bank, maklumat-maklumat, bersosial, bahan bacaan dan lain-lain. Tidak kurang juga di dalam angka 16 juta itu yang telah dan akan memiliki laman blog masing-masing.

Akhbar baru-baru ini melaporkan mengenai blogger untung RM1 juta hasil dari menulis blog sahaja. Pergh! Hanya menjadi seorang blogger dan anda mampu kaut untung sebegitu besar dan masuk muka hadapan dalam akhbar utama negara! Pergh sekali lagi!

Monday, January 24, 2011

Bagaimana Memulakan Perniagaan di Gong Xi Fa Cai

Mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.


Kita akan melihat warna merah di serata tempat sepanjang perayaan berlangsung. 'Warna ong' menurut kepercayaan mereka. Juga dengan selesainya isu azan di Lembah Pantai, dengan pengadu telah memohon maaf secara terbuka, dan disambut baik oleh masyarakat Islam, maka perayaan Tahun Baru Cina ini akan lebih meriah, juga 'lebih ong' dan lebih satu Malaysia tanpa sebarang rasa tidak selesa di kalangan rakyat. (Bagi yang ketinggalan mengikuti kontrovesi berkaitan peguam Cina vs azan Subuh, boleh meletakkan kata 'azan lembah pantai' di ruangan Google search kalian untuk membaca kronologinya.)

Maka telah wajib pula bagi negara Malaysia...

Tuesday, January 18, 2011

Buat Duit dengan Blog

Dahulu, semasa zaman Sasterawan Negara, Abdullah Hussain masih remaja, (sengaja saya menggunakan nama Abdullah Hussain sebagai contoh kerana beliau sangat dikenali kini) sewaktu awal-awal penglibatan beliau di dalam bidang penulisan ini, beliau bermula dengan menulis berita-berita sekitar perlawanan bola sepak yang berlangsung di sekolahnya untuk di hantar ke sebuah syarikat penerbitan pada waktu itu.

Tulisan-tulisan beliau itu...

Wednesday, January 12, 2011

Abdullah Hussain, Interlok, dan Air Mata

Mungkin ada benarnya tulisan seorang pembaca akhbar Utusan Malaysia lewat surat yang dikirimkan semalam ke akhbar tersebut. Katanya, paling tidak novel Interlok tulisan Abdullah Hussain kini menjadi novel sastera yang paling dikenali dan dicari akibat kontrovesi yang sedang terjadi.

Ini menjadikan novel Interlok lebih tertonjol berbanding dengan novel-novel karangan sasterawan yang lainnya. Dari orang sastera yang mempertahankan, ke orang politik, ke NGO, ke orang Melayu, ke orang India, ke orang awam, ke bekas mufti, semuanya tahu tentang Interlok. Masing-masing punya pendapat dan pandangan yang berbeza-beza. Sehingga mereka yang tidak membaca novel Interlok pun punya komen yang tersendiri.

Pandangan-pandangan itu pastinya tidak lari dari yang mahu ia dikekalkan, mahu ditarik balik, mahu 'dimurnikan', mahu dibuang muka suratnya yang didakwa mengandungi kata-kata yang menghina kaum India. Akhbar-akhbar melaporkan perkara ini dengan meluas sekali. Bahkan akhbar Utusan semalam meletakkan wajah Abdullah Hussain di muka hadapan sebagai tajuk utama.

Siapa yang tidak berasa sayu apabila melihat wajah sasterawan negara itu mengalirkan air mata apabila tulisannya dikatakan menghina dan berbaur perkauman sehingga menghilangkan kewarasan akal lalu sanggup pula sekumpulan manusia membakar naskhah Interlok itu dan gambar Abdullah Hussain sebagai melahirkan kemarahan mereka.

Perbuatan membakar itu menurut Dr Mohd Asri Zainal Abidin adalah perbuatan yang tidak bertamadun. 

Ia bahkan akan menyemarakkan kemarahan pihak lain pula. Tidak mungkinlah api yang sedang menyala dipadamkan dengan simbahan minyak. 

Begitulah apabila kewarasan akal telah ditewaskan emosi. Dalam satu tulisan yang lain Dr Ridhuan Tee Abdullah dalam bukunya bertajuk 'Nasib Melayu Di Bumi Melayu' telah menegaskan bahawa apabila sesuatu kepentingan bangsa bertembung dengan kepentingan negara, maka adalah terutama bagi rakyat di dalam negara mengutamakan kepentingan negara melebihi dari mana-mana kepentingan bangsa sendiri.

Ini adalah demi untuk mengelakkan perpecahan dan pergaduhan antara rakyat berbeza kaum di dalam negara.

Satu soalan yang patut ditanyakan kepada mereka yang begitu lantang mengemukakan bantahan terhadap novel ini, sudahkah mereka membacanya?

Itulah masalah yang terjadi. Novel ini tidak dibaca dan dinilai mengikut kadar yang sepatutnya tetapi terus mempercayai bulat-bulat bahawa novel ini menghina kaum dan tanpa berfikir panjang terus membakar dan melaungkan kebencian terhadap penulisnya.

Kita sudah merdeka berapa lama dan perkara menerima berita tanpa selidik dahulu seperti ini masih berlaku. Pastinya ini bukan perkara yang baik untuk negara.

Mungkin bagi sesetengah pihak berhujah bahawa apa salah membuang satu dua muka surat yang mengandungi kontrovesi itu demi menjaga hati semua. Namun bagi penulis seperti Abdullah Hussain apa yang telah ditulis itu adalah relevan belaka, tidak ada yang sia-sia. Perkara membuang satu dua helai muka surat itu seumpama memotong kaki dan tangan anak sendiri. Mana mungkin kita sanggup berbuat begitu. (Perjalanan Mencari Diri : 2004)

Banyak syor yang telah dikemukakan oleh berbagai pihak berkenaan perkara ini. Antaranya oleh sasterawan negara Dr Anwar Ridhwan. Menurut beliau tidak perlu dibuang atau dilakukan pembaikan ke atas mana-mana perkataan di dalam novel tersebut, cuma apa yang perlu adalah diberikan penjelasan yang sepenuhnya kepada pelajar agar dapat memahaminya mengikut konteks asal.

Perkara ini tidak mungkin dapat diselesaikan selagi ada pihak yang mendesak agar ditarik balik dan pihak yang lain pula berkeras mempertahankannya. Seharusnya perbincangan antara kedua-dua belah pihak diadakan dan mencapai satu kata sepakat yang memuaskan semua.

Sebenarnya novel Interlok ini memaparkan kisah perpaduan antara kaum di dalam negara Malaysia. Dan menurut G.L Koster dalam ulasannya terhadap novel ini berkata, "yang menarik dalam novel Interlok ialah hubungan erat yang dibuat oleh Dato' Abdullah antara bahasa Melayu yang baik dan kesedaran yang baik, ertinya kesedaran yang membawa ke pembinaan ke satu paduan.

Maka tuduhan sesetengah pihak bahawa novel ini bersifat perkauman adalah sangat tidak munasabah. Abdullah Hussain sendiri semasa mahu menulis Interlok telah memikirkan formula bagaimana mahu disatukan ketiga-tiga bangsa utama di dalam Malaysia dalam novelnya itu nanti. Dan akhirnya beliau merumuskan bahawa hanya dengan satu bahasa sahaja yang dapat membawa penyatuan bagi kesemua kaum di dalam negara iaitu melalui bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Dengan satu bahasa itulah bangsa Melayu, bangsa Cina, dan bangsa India dan duduk semeja berbincang, dapat berada dalam satu kampung bermuafakat, dapat berada dalam suatu organisasi bermesyuarat. Hanya melalui satu bahasa itulah. Maka terlahirlah Interlok yang membawa impian penulis untuk melihat rakyat di dalam negaranya bersatu tanpa ada sebarang jurang yang memisahkan.

Namun mereka yang tidak mengerti telah tersalah faham akan niat penulis itu. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan hanya Tuhan sahaja yang tahu sakitnya yang terpaksa ditelan oleh Abdullah Hussain. Setelah lebih setengah abad menulis untuk kepentingan bersama, di hujung usia beliau telah dihina dan dicaci. Mungkin ada benarnya kebimbangan kedua orang tua Abdullah Hussain suatu masa dahulu apabila melihat beliau sangat berminat dalam bidang tulisan. Bidang yang menurut sasterawan negara itu, suatu pekerjaan yang bukan sahaja tidak mendatangkan pulangan tetapi kadang-kadang boleh mendatangkan malapetaka kepada diri sendiri dan keluarga. Ya, mungkin ada kebenaran kata-kata beliau itu melihat situasi yang sedang berlaku ke atas dirinya kini.

Friday, January 7, 2011

Nasi Lemak Kopi O - Sinopsis Novel

Menonton program Nasi Lemak Kopi O di TV9 pagi tadi (Jumaat 7.1.2011). Teruja dengan segmen baru mereka, Sinopsis Novel.

Sebuah segmen yang membicarakan mengenai novel dengan menjemput penulisnya pada masa yang sama. Agak menarik walau hanya sekitar 15 minit dan bicaranya santai dan tidak terlalu serius, tetapi menjadi begitu berkesan sebagai promosi dan iklan buat novel-novel yang dipilih.

Tahniah buat TV9 dan Nasi Lemak Kopi O kerana membuat pembaharuan dalam rancangan mereka lebih-lebih lagi pembaharuan itu sesuatu yang menggalakkan dan membudayakan amalan membaca di kalangan khalayak.

*Namun kepada kalian yang lebih mengharapkan perbincangan yang serius pada sesebuah novel, boleh hadir ke Rumah PENA pada esok pagi (Sabtu 8.1.2011). Kerana mereka akan mengadakan dialog mengenai novel yang paling 'panas' ketika ini, novel Interlok-SN Abdullah Hussain. Untuk maklumat lanjut boleh google 'rumah pena' atau klik sini.

**O sebelum terlupa, buat kalian yang masih tidak tahu kenapa novel Interlok boleh menjadi begitu 'panas' dengan tidak semena-mena, walhal novel itu telah lama diterbitkan (cetakan pertama tahun 1971!), kalian boleh sahaja meletakkan kata 'interlok abdullah hussain panas' pada ruangan search di enjin pencarian kalian. Atau kalian boleh klik sini

Wednesday, January 5, 2011

Rayyan Fantasi-Ramlee Awang Murshid


Novel paling kini daripada penulis prolifik Alaf21, Ramlee Awang Murshid. Sangat prolifiknya sehingga ketika anda sedang menghabiskan bacaan pada novel terbarunya ini, beliau sudah merangka sebuah novel yang lebih baru lagi. Sutera Bidadari. Lanjutan kisah Laksamana Sunan.

Novelis thriller nombor 1 Malaysia ini, (gelaran yang saya tidak tahu daripada siapa) sekali lagi telah berjaya dengan penceritaan berunsurkan saspen dan seram dan menjentik rasa ingin tahu para pembaca dari awal sehingga ke akhir bab.

Sebenarnya saya tidak patut bocorkan rahsia mengenai kisah Rayyan Fantasi (RF) ini di sini. Para pembaca patut membacanya sendiri untuk merasai debaran dan kejutan-kejutan yang disajikan dalam RF. Oleh kerana penulisnya telah menyusun bab demi bab bagi mewujudkan debaran dan suasana saspen itu, maka ia menjadi tidak menarik lagi jika pembaca telah terlebih dahulu tahu mengenai RF sebelum membaca RF.

Oleh itu saya nasihatkan, kepada yang sedang membaca novel ini, dan tidak mahu kehilangan perkara saspen itu dalam bacaan kalian, boleh alih kepada entri saya yang lain.

Rayyan Fantasi berkisah mengenai dunia makhluk asing. Ya benar, makhluk asing. UFO. Piring terbang. Tapi RF ini bukan sekadar novel makhluk asing yang tersesat jatuh ke bumi, bahkan imaginasi penulisnya lebih jauh lagi. Beliau membawa para pembaca ke planet makhluk asing itu sendiri!

Melalui watak Aiddin (nama watak di planet bumi), seorang anak yang dibesarkan di negeri Sabah, penceritaan novel ini dikembangkan. Bermula dengan kehidupannya yang seperti kanak-kanak lain, bermain, membesar, bersekolah, beruniversiti, sehinggalah Aiddin yang disahkan menghidap barah otak tahap empat, kemudian hilang di atas Gunung Kinabalu, yang sebenarnya beliau telah diculik makhluk asing dan dibawa ke 'negeri' asalnya, kerana pencarian yang tidak berhasil ke atas dirinya, Aiddin disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang di bumi.

Namun ayahandanya telah mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anaknya itu, kerana beliau juga sebenarnya makhluk asing!

Ayah Aiddin bernama Ibrahim (nama di planet bumi) dahulunya merupakan seorang pemimpin di dunia makhluk asing. Namun kerajaannya telah digulingkan melalui satu rampasan kuasa oleh orang kanannya sendiri. Lantaran itu Ibrahim melarikan diri ke planet bumi bersama dengan anaknya. Dan beliau berkeputusan untuk terus menetap di planet bumi serta melupakan segala peristiwa dan asal usulnya di planet sana.

Seperti mana yang para pembaca setia tulisan RAM ketahui, RAM sememangnya sangat gemar bermain dengan masa di dalam setiap novelnya. Beliau akan bercerita dengan tidak mengikut susunan. Bermula dengan masa kini, lalu dialih kepada masa silam, sebelum memasuki masa hadapan, dan kembali semula ke masa kini. Bagi yang telah sering membaca novel-novel RAM, stail seperti ini memang tidak akan berasa kejanggalannya.

Tetapi untuk novel RF ini pula, RAM tidak hanya bermain dengan perkara masa itu, bahkan beliau bermain dengan permainan masa yang berlebihan pula!

Jika anda telah membaca novel ini anda akan mengerti maksud saya. Bagi para pembaca yang dari jenis membaca cara 'perlahan', satu hari satu bab, maka kalian akan berasa kehilangan dan sedikit keliru dengan gaya RF ini yang sekejap ke depan, sekejap ke belakang, dan ke depan semula dari perihal masanya. Namun bagi yang membaca satu malam satu novel, ini tidak menjadi masalah.

Cuma bersedia sahajalah untuk membelek-belek semula muka surat belakang jika anda berasa kehilangan itu.

Secara tidak menipunya saya katakan, novel terbaru Ramlee Awang Murshid ini bukanlah novel terbaik yang pernah saya baca dari tulisan beliau. Sebelum ini saya telah membaca hampir kesemua novel-novel beliau bermula dari Tombiruo (1998), Ranggau, Mandatori, Semangat Hutan, ADAM, Satu Janji, Tombiruo Terakhir, Rahsia Perindu, Bagaikan Puteri, Hatiku Di Harajuku, Cinta Sang Ratu, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencinta, Mikhail, 9 Nyawa, dan terbaru sebelum ini Cinta Sufi (2010). Bahkan novel beliau yang jarang diketahui seperti Anugerah Pertama-Kasihnya Tercicir Di Perjalanan Masa terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (2000) juga saya miliki dan membacanya.

Dan saya dapat melihat RAM 'membesar' dalam setiap novelnya. Perlahan-lahan gaya beliau lebih teratur dan menjadi enak dihadam. Plot-plotnya akan berkembang cantik dengan watak-watak yang selalunya kita akan berasa dekat sekali dengan diri dan persekitaran.

Namun pada novel RF ini saya rasakan sedikit berlebihan. Membawa kisah misteri makhluk asing terasa seperti terkeluar dari kebiasaan RAM. Yang selalunya akan dekat dengan realiti. Perkara berlebihan dalam berimaginasi inilah yang membuatkan novel ini sedikit menghampakan saya. Mungkin benar ia suatu yang lain, suatu percubaan yang berbeza RAM dari novel-novel sebelumnya, tapi bagi saya ia sedikit 'berlebihan'.

Tapi itu bukan alasan untuk tidak membeli novel ini.

Apa yang berlaku kepada Aiddin setelah diculik itu? Dan mengapa pula dia diculik? Apakah pula tindakan ayahnya, Ibrahim setelah anaknya diculik?

Soalan-soalan itu akan dijawab sendiri oleh Rayyan Fantasi. Boleh dibeli di toko-toko buku berhampiran. Atau jika berasa malas-malasan untuk keluar ke kedai membelinya di musim hujan-hujan begini, kita ada brother-brother posmen yang sedia membantu. KLIK.

Semoga memperolehi manfaat dari bacaan.

**Sasaran untuk tahun 2011 ini 53 buah buku. Ikuti perkembangannya di laman Goodreads saya.

Monday, January 3, 2011

Dari Dalam Rak : Buku-buku Menarik 2010

Memasuki 2011. 

Bercerita mengenai 2010. Ada beberapa buah buku yang saya rasa sangat berharga yang ingin saya kongsikan. Sebahagiannya belum sempat saya baca pun. Buku-buku ini yang mengindahkan rak saya untuk tahun 2010 yang lepas.


Judul : Proses Kreatif Satu Pengalaman Rohani
Penulis : Abdullah Hussain
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-46-0600-8
Harga : RM 25.00


Judul : Abdullah Hussain dalam Esei dan Kritikan
Penyusun : Zeti Aktar Jaffar
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-62-9812-6
Harga : RM 47.00

Telah lama sebenarnya merindui buku-buku terbaru tulisan SN Abdullah Hussain. Lebih-lebih lagi pada novel beliau. Dan memiliki dua buah buku di atas sebagai pengubatan rindu walau kedua-duanya bukan merupakan novel.



Judul : Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan
Penyelenggara : Hamzah Hamdani
                         Zeti Aktar Jaffar
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-62-9519-4
Harga : RM 40.00


Judul : Shit
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Pustaka Reka
ISBN : -
Harga : RM 8.00 (Kedai Buku Terpakai)


Judul : Setitis Embun Semarak Api
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Alaf21 Sdn Bhd
ISBN : 978-983-124-273-5
Harga : RM 20.00


Judul : MahaMaha
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Pustaka Jiwa Merdeka
ISBN : -
Harga : RM 5.00 (Kedai Buku Terpakai)


Judul : NuruL Anak Papaku
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Pustaka Jiwa Merdeka
ISBN : - 
Harga : RM 5.00 (Kedai Buku Terpakai)

Memiliki buku-buku langka SN Shahnon Ahmad merupakan teruja yang besar untuk tahun 2010. Buku-buku Shit, MahaMaha, Nurul Anak Papaku, merupakan suatu pembelian yang tidak disangka. Mungkin sudah tidak akan ditemukan buku-buku ini di kedai-kedai buku yang ternama, tapi boleh sahaja dicari di kebanyakan kedai buku terpakai di dalam negara. Salah satunya di Pasar Chowrasta, P. Pinang. 




Judul : Ruang Perjalanan
Penulis : S. Othman Kelantan
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-46-0119-5
Harga : RM 18.00

Novel ini memberikan suatu penceritaan serta pemikiran yang berbeza bagi saya. Jika ada perkataan yang menggambarkan perkara menarik yang sungguh-sungguh, itulah perkataan yang sesuai untuk novel ini. Kali terakhir saya melihat buku ini di laman sesawang Dawama. Dan stok untuk buku ini masih ada. Klik. Atau jika sudah kehabisan stok, boleh sahaja dihantar emel bertanyakan mengenai novel ini kepada mereka.Mungkin jika ada ramai yang bertanya, tidak mustahil untuk dicetak semula novel hebat ini.


Judul : Kisah Pembuat Lilin Melawan Matahari
    dan lain-lain satira ekonomi-politik 
Penulis : Frederic Bastiat
                 Leonard E. Read
             Jonathan Swift
                            Jane Haldimand Marcet
Terbitan : Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd
ISBN : 978-983-3912-13-1
Harga : RM 10.00

Buku ini menghimpun terjemahan beberapa cerita pendek dari penulis-penulis luar negara. Boleh saya katakan ia lain dari yang lain. Menjentik akal. Baca ulasan saudara Roslan Jomel. Klik.




Judul : Atheis
Penulis : Achdiat K Mihardja
Terbitan : PT Balai Pustaka
ISBN : 978-979-407-185-4
Harga : RM 38.50


Judul : Putri
Penulis : Putu Wijaya
Terbitan : PT Pustaka Utama Grafiti
ISBN : 979-444-433-2
Harga : RM 42.00

Kedua-dua buku dari negara jiran Indonesia itu sangat menarik minat saya. Achdiat K Mihardja memang telah lama saya mendengar nama dan mencari-cari Atheisnya. Novel ini novel lama yang kali pertamanya diterbitkan pada tahun 1949. Secara ringkasnya mengisahkan seorang pemuda yang taat kepada agama Islam namun kerana pergaulan bersama rakan-rakan yang berfahaman ateis, dia terpengaruh.

Novel Putri pula merupakan buku pertama dari Putu Wijaya yang saya miliki sebelum saya membeli Nora dan Mala. Buku Putri ini merupakan salah satu buku yang menarik minat saya pada kali pertama terpandang.

Itu antara buku-buku yang saya rasa sangat hebat yang telah memasuki rak buku saya untuk tahun 2010. Sekadar untuk berkongsi bahan bacaan yang menarik yang saya miliki. 

Mengharapkan buku yang lebih hebat lagi bagi tahun 2011 ini.

*Buku pilihan untuk tahun 2010 telah dipilih dan akan dientrikan dalam entri-entri yang akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...