Wednesday, September 1, 2010

Silir Daksina - Nizar Parman


1.     Silir Daksina. Novel ini memenangi tempat kedua pertandingan novel remaja HSKU 2009 hasil tulisan saudara Nizar Parman. (klik sini untuk ke blog beliau)

2.     Novel ini mengisahkan tentang seorang remaja, (harus untuk pemenang HSKU antara ciri-ciri yang perlu diperhatikan adalah watak utamanya ialah seorang remaja) bernama Haiqal Haqimi. Hidup bersama ibu dan ayah tirinya.

3.     Suatu hari didatangi sebuah manuskrip lama yang di dalamnya terdapat tulisan-tulisan arwah ayah kandungnya. Teruja dengan kandungan manuskrip lama itu, Haiqal bertekad untuk mencari jejak kehidupan arwah ayah kandungnya itu di sebuah kampung di Johor Bahru.

4.     Keputusan beliau untuk ke Johor untuk mencari arwah ayah kandungnya telah mendapat tentangan daripada ibunya. Ibu Haiqal melarang anaknya ke Johor atas sebab-sebab tertentu yang saya kurang jelas. Apa yang di beritahu hubungan ibu dan ayah kandung Haiqal sesungguhnya tidak bahagia sehingga berpisah dan ibunya membawa Haiqal tinggal bersamanya di Kuala Terengganu. Ayah Haiqal, Abdullah bin Kayan, tinggal kesepian di Johor Bahru. Kesepian keseorangan dan kerinduan kepada anaknya, Haiqal Haqimi.

5.     Namun keputusan Haiqal telah bulat walaupun ibunya melarang keras dia ke Johor Bahru. Ibunya tidak mahu Haiqal mengikuti jalan hidup Abdullah bin Kayan.

6.     Sesampai di kampung arwah ayahnya, Haiqal disambut dengan mesra oleh penduduk kampung di sana kerana Abdullah bin Kayan ini seseorang yang disegani di situ. Sedikit demi sedikit Haiqal mula mengetahui mengenai arwah ayahnya melalui penceritaan penduduk-penduduk kampung di situ.

7.      Terdapat sedikit ilmu mengenai tarian zapin di dalam novel ini. Watak Abdullah Kayan dijadikan sumber untuk menyampaikan mengenai tarian seni zapin ini. Watak ini juga diceritakan sebagai seorang yang mencintai sastera. Dari situlah perlahan-lahan Haiqal mengenali ayah kandungnya. Dan semenjak ayahnya meninggal dunia kampung tersebut kehilangan orang penting untuk memperkenalkan tarian zapin dan sastera di kampung itu. Maka semuanya sepi setelah pemergian Abdullah Kayan.

8.      Kedatangan Haiqal ke kampung tersebut telah berjaya membuka kembali perhatian dan semangat penduduk kampung terhadap seni zapin ini. Dan cerita seterusnya adalah tentang Haiqal berusaha mengenali arwah ayahnya di kampung tersebut.

9.     Saya berkali-kali mengingatkan diri sendiri ketika sedang membaca novel ini bahawa ini adalah pemenang bagi novel kategori remaja. Tidak haruslah untuk saya mengharapkan sesuatu karya yang berat ideologi dan pemikirannya dengan bahasa-bahasa yang bersulam-sulam dari novel ini. Jadi saya membaca seadanya dengan tanggapan yang benar bahawa novel ini adalah pemenang kategori remaja.

10.    Menurut laporan panel hakim HSKU novel ini menepati ciri-ciri yang mewajarkan ia memenangi HSKU pada tahun 2009. Antaranya novel ini menampilkan watak remaja yang unggul serta mempunyai jati diri yang tinggi dan berakhlak mulia. Juga novel ini memberi sedikit sebanyak info mengenai tarian seni zapin yang makin dilupakan kini. Kekuatan novel ini juga terletak pada integrasi kaum antara masyarakat Melayu dan Cina.

11.    Tapi oleh kerana bacaan saya yang lemah saya merasa jalan ceritanya begitu mendatar tanpa graf naik turun bagi mendatangkan ghairah untuk terus membaca. Dan unsur saspens yang menurut panel hakim mampu merangsang keinginan untuk mengetahui kisah seterusnya tidak saya rasai langsung. Mungkin kerana bacaan saya yang lemah. Atau sahaja mungkin saya perlu mengulangbaca semula novel ini untuk benar-benar merasainya.

12.    Segala penceritaannya adalah disengajakan buat disesuaikan dengan tahap remaja itu sendiri agar para remaja lebih mudah membacanya dan memahaminya tanpa sebarang masalah.

13.    Apa yang penting bagi pemenang HSKU ini adalah ceritanya mampu untuk memberi nilai positif kepada para pembaca iaitu golongan sasarnya adalah remaja. Jalan ceritanya akan memberi kesan kepada remaja untuk lebih bercita-cita dalam merencana masa depannya.

14.    Mungkin saya akan menjadi tidak adil jika mengharapkan sesuatu yang lebih dari novel ini. Halnya kerana novel ini dalam kategori remaja dan panel hakim telah pula menetapkan semua ciri-ciri khas untuk diikuti bagi melayakkan mereka bertanding dalam pertandingan ini. Cuma yang membezakan novel-novel pemenang HSKU ini ialah nilai kreativiti pengarangnya. Mungkin itu yang kurang bagi saya setelah membaca ketiga-tiga novel pemenang HSKU tahun 2009 ini. Tiba-tiba teringat ketika tahun-tahun Faisal Tehrani 'menguasai' HSKU. Walaupun dalam kategori remaja, dengan ciri-ciri yang telah ditentukan pula, Faisal mampu untuk membawa kelainan dalam setiap novelnya yang memenangi HSKU ketika itu. Tidak hanya sesuai dibaca oleh remaja, malahan jalan cerita serta gaya bahasa dan olahannya juga enak diladeni oleh khalayak yang lebih dewasa. Kreativiti dan imaginasi.

15.    Apapun tidak rugi jika membaca Silir Daksina ini. Dari tajuknya sahaja ia telah unik. Selamat membaca, semoga bermanfaat.

* Sebelum terlupa, harus untuk saya memuji pereka untuk kulit buku HSKU kali ini. Cantik dan lebih membuat buku-buku tersebut terasa 'mahal'. Tahniah untuk itu.

3 comments:

Md Nizar Parman said...

Assalamualaikum,
Terima kasih kerana sudi memberikan ulasan tentang SILIR DAKSINA. Saya amat berterima kasih kepada saudara dan menyedari kekurangan yang wujud dalam novel ini memandangkan ini novel pertama saya. Sebelum ini saya lebih cenderung menekuni genre cerpen dan puisi. Insya-Allah, segala pandangan dan nasihat saudara akan saya berikan perhatian yang serius untuk menghasilkan novel remaja yang lebih berkualiti. Sila berkunjung ke blog saya, warnabahagia.blogspot.com. Terima kasih.

Nuraisyafyqa Nortamizi said...

Saya kurang mengerti tnetang maksud perkataaan 'silir daksina'
apa maksudnya eh?
:D

ADMIN (MB) said...

Mengikut kamus dewan, silir bermaksud angin yang perlahan, sepoi-sepoi bahasa, silir-semilir.

Daksina pula bermaksud selatan. Berlawanan dengan paksina-utara.

Silir Daksina-Angin Selatan.

Tapi untuk makna yang lebih jelas, baiklah ditanyakan kepada penulisnya sendiri. Boleh ke blog beliau, http://warnabahagia.blogspot.com/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...