Wednesday, December 8, 2010

Melihat Buku Pilihan Sepanjang Tahun 2010

Memasuki bulan terakhir dalam kiraan kalendar masihi, membuatkan saya melihat-lihat semula sejumlah buku yang telah dibaca sepanjang tahun ini untuk dinamakan buku pilihan sepanjang 2010. 
     Dalam senarai saya untuk tahun ini, terdapat banyak sekali buku-buku, atau sebetulnya novel-novel, buat dipilih menjadi buku pilihan. Sememangnya tahun ini tahun yang paling banyak buku-buku baru memasuki rak saya. 
     Jikalau untuk tahun lepas saya telah memilih novel Srengenge-Shahnon Ahmad sebagai novel pilihan 2009, (klik) bagi tahun ini pula saya telah menyenaraikan beberapa buah novel yang telah dibaca pada 2010 ini untuk diangkat menjadi novel pilihan sepanjang tahun, antaranya adalah :


1) Tetralogi Laskar Pelangi - Andrea Hirata
     - Laskar Pelangi
     - Sang Pemimpi
     - Edensor
     - Maryamah Karpov


2) Dwilogi Padang Bulan - Andrea Hirata
     - Padang Bulan
     - Cinta Di Dalam Gelas


3) Ruang Perjalanan - SN S. Othman Kelantan


4) Tetralogi Dangdut - Putu Wijaya
     - Nora
     - Mala


5) Atheis - Achdiat K. Mihardja


     Itu antara novel yang telah saya senarai pendekkan untuk pilihan tahun ini. Semuanya merupakan novel-novel hebat yang berpeluang saya baca kandungannya. Rasanya tahun ini, tahun yang sukar sekali untuk saya menentukan novel yang mana menjadi pilihan. Namun apa yang pasti akan ada sebuah yang bakal saya pilih sebagai novel pilihan sepanjang tahun 2010.
     Tunggu.

Tuesday, November 2, 2010

Rancangan Buku Di Televisyen

Mendapat mesej melalui Facebook penulis, Tuan Zamri Mohamad,

"Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui Perpustakaan Negara Malaysia(PNM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menerbitkan Travelog Kembara Buku, iaitu travelog untuk siaran televisyen mengenai industri perbukuan dan kesannya terhadap budaya membaca.

Travelog ini akan disiarkan di RTM bermula November 2010. Rancangan 13 episod itu dipaparkan di TV1 pada hari Ahad jam 2.30 petang"

 Sama-sama kita nantikan.

Saturday, October 23, 2010

Melihat Buku di Tivi


Ketika Oprah Winfrey mengundang seorang penulis buku ke dalam rancangannya, ia bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Bagai bulan jatuh ke riba. 

Manakan tidaknya, jumlah jualan buku yang dibawa masuk Oprah ke dalam Talk Shownya meningkat hampir 10 kali ganda dari jualan sebelumnya!

Buku-buku, fiksyen atau tidak, yang disyorkan Oprah di dalam rancangannya itu merupakan buku yang telah beliau sendiri baca. Bukan sekadar buku-buku baru yang keluar pasaran, tetapi buku yang beliau sendiri rasakan sangat baik dan menarik untuk dibaca khalayak.

Para penerbit dan penulis buku selalu memimpikan agar buku mereka 'ditolong' promosikan Oprah di dalam rancangannya.

Saya mahu bicarakan tentang betapa kuatnya pengaruh wanita ini sehingga mampu membuat sesebuah buku yang lembab jualannya menjadi buku Best Seller dalam masa beberapa hari selepas ditayangkan.

Betapa dengan pengaruhnya mampu menjadikan khalayak ramai lebih mengenal buku-buku yang berkualiti dan sekali gus membacanya sehingga membentuk peribadi-peribadi positif hasil dari bacaan berkualiti tersebut.


Namun saya tidak mahu bicarakan tentang manfaatnya menjadi masyarakat membaca, betapa faedahnya negara memiliki rakyat yang gemar membaca, kita sudah maklum perkara itu. Tidak mahu juga saya bicarakan tentang tahap kualiti buku-buku di dalam negara, kerana buku-buku kita tidak kurang hebatnya berbanding negara lain. Tetapi saya mahu katakan tentang memiliki 'Oprah versi Malaysia'.

Mungkin pernah ada dalam beberapa rancangan televisyen yang membawa masuk beberapa penulis bersama dengan bukunya untuk dibicarakan. Namun itu hanya merupakan sebuah 'slot 10 minit' yang diselitkan dalam program tivi tersebut. Dan kadang pengacara yang mewawancara penulis tersebut pula bukanlah dari kalangan 'pembaca tegar' yang banyak membaca, sehingga wawancaranya bersama penulis dirasakan mati.

Kerana adanya bulan membaca, maka diwujudkan 'slot 10 minit' itu sebagai kononnya mereka menyokong kempen bulan membaca tersebut. Lebih merupakan perkara yang dibuat 'asal ada'. Tidak dengan sungguh-sungguh.


Jadi kesannya pun asal ada juga. Kaki-kaki buku jugalah yang akan menonton penuh minat slot 10 minit (dengan iklan 4 minit) itu. Matlamat untuk membudayakan masyarakat membaca berputar sekitar kaki-kaki buku jugalah. 

Putar-putar bagai mesin blender. Tidak ke mana-mana, kisarannya sekadar itu-itu juga. Sehingga hancur dan lumat.

Mungkin kita boleh adakan satu  rancangan tivi selama 30 minit yang khusus membicarakan berkenaan buku. Rancangan tivi itu pula haruslah dimainkan dalam waktu perdana. Waktu ketika ramai masyarakat yang sedang menonton. Mungkin jam 9 malam sesudah berita. Atau mungkin setengah jam sebelum berita.


Perkara sama yang dihadapkan berkali-kali, berulang-ulang, akan memuakkan juga. Satu jam sebelum warta berita, kita ada drama. Kalau tidak drama pasal cinta terhalang, tentu pasal cinta terhalang juga yang ditukar sikit-sikit jalan ceritanya. Kemudian kita ada lagi drama selepas berita sehingga lewat malam. Pasal cinta juga.

Bukan menjadi satu kesalahan, tidak salah, buatlah, kadang dalam drama-drama tersebut ada dimasukkan perkara-perkara positif untuk difikir bersama. Tak salah. Buatlah. Tapi mungkin boleh diberi 30 minit selepas berita sebelum drama itu satu rancangan bual bicara mengenai buku.


Gajikan seorang yang benar-benar kaki buku. Atau jika mahu lebih laku, ambil seorang artis yang memang sahih banyak membaca. Buku-buku yang dipilih pula harus tidak terikat dengan mana-mana pihak. Kawan penerbit ke, adik ipar jurumekap ke, sepupu jauh audio man ke. Harus tulus. Jangan ada ketirisan seperti yang orang politik selalu retorikkan.

Mungkin dengan populariti artis yang mengacarai rancangan bual bicara tersebut mampu untuk membuat orang ramai mula minat membaca.

Selepas dari adanya program itu, insyaAllah kita akan dapat melihat jualan buku yang meningkat. Penulis dan penerbit buku akan lebih banyak melakukan sujud syukur.


Cuma beri masa sekadar 30 minit itu sahaja. 


*Saya kurang mengenali artis secara dekat, jadi tidak berani menyebut satu nama sebagai calon yang boleh mengacarai rancangan bual bicara itu. 


**30 minit tidak lama sebenarnya.

Tuesday, October 19, 2010

Cerpen-Lara Atma


Saya membaca beberapa buah buku himpunan cerita-cerita pendek dalam minggu-minggu sebelum ini. Antara buku yang saya baca, Pada Suatu Ruang – S Othman Kelantan, Berjalan-jalan Di Sini – S Othman Kelantan, Cerkas – Sindiket Sol-Jah, Seketul Hati Seorang Pemimpin – Shahnon Ahmad, Stingarden – Sinaganaga, Celupan – Isa Kamari, dan Namaku Epal Kuning – Roslan Jomel.


Saya gemarkan cerpen yang ringkas, harusnya cerpen itu ringkas kerana namanya sahaja sudah cerita pendek, namun ada juga penulis yang menulis cerita pendek mereka panjang-panjang. Tidak saya katakan itu menjadi suatu kesalahan, tapi saya gemarkan cerpen yang ringkas.


Ringkas dengan susunan cerita, plot, watak, dan mesej.


Ada suatu yang mendorong saya untuk membaca cerpen-cerpen ini semua. Segalanya kerana mahu mencari inspirasi tentang cerpen yang bagaimana ‘kena’ dengan cara saya untuk jadikan ilham buat menulis buku cerita pendek saya sendiri.


InsyaAllah saya sedang mengusahakan sebuah buku yang mengandungi cerita-cerita pendek saya. Buku yang diterbitkan sendiri, lebih untuk mencari kepuasan melihat buku sendiri, tulisan sendiri di dalam rak sendiri.


Ingin mengucapkan tahniah kepada seorang rakan, seorang penulis muda, Hasni Jamali. Tulisannya baru-baru ini mendapat tempat di beberapa majalah dan surat khabar. Tahniah.


Kepada yang selalu mengikuti ruangan puisi di akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu, tentu akan perasan akan nama ini. Puisi beliau telah banyak kali disiarkan di ruangan tersebut.


Dan saya membaca cerpen beliau yang tersiar di majalah Tunas Cipta edisi Oktober 2010. Cerpen yang berjudul Lara Atma.


Sebuah cerpen yang baik, dengan beberapa ruang yang masih boleh diperbaiki, cerpen yang berpijak pada realiti semasa. Gambaran kehidupan remaja yang dibayangi kesilapan masa lalu.


Penulis bercerita mengenai seorang remaja dan dunia motorsikalnya. Atau mat rempit@samseng jalanan. Berlumba motor sehingga mengakibatkan kemalangan yang membabitkan diri dan kakaknya sendiri. Seputar penyesalan itu penulis memainkan emosi dan keadaan remaja itu setelah berlakunya kemalangan yang menyebabkan kakaknya koma.


Rasa bersalah itu penulis bawakan sehingga hujung cerita. Dan dengan rasa penyesalan itu penulis mahu khalayak tahu betapa perbuatan menunggung motorsikal secara berbahaya di atas jalan raya bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk ditanggung akibatnya.


Cerpen Lara Atma ini merupakan jenis tulisan yang nyata maksudnya. Tiada makna-makna disebalik atau tersirat yang mahu disampaikan. Semuanya jelas. Jikalau adapun maksud tersiratnya, ia mampu dikesan dan tidak memerlukan pembaca berfikir lama-lama untuk memahami keseluruhan cerpen ini.


Bagi saya Lara Atma sebuah cerpen gambaran realiti yang baik, mengangkat isu-isu semasa yang makin parah di kalangan remaja kini. Mungkin kalau boleh bermain dengan lebih imaginasi dan memerah lebih kreativiti, dua perkara yang penting, cerpen ini akan menjadi wow!


Buat Hasni, tahniah, teruskan menulis.


*Sedang menyudahkan dua cerpen terakhir untuk buku terbitan sendiri pertama saya.

Wednesday, September 22, 2010

Bumi Cinta - Habiburrahman El Shirazy


Novel ini merupakan buah tangan terbaru dari novelis Indonesia yang cukup terkenal, Habiburrahman El Shirazy.

Kelahiran novel ini pasti dinanti-nantikan oleh para peminat Kang Abik. Setelah mencetuskan fenomenal yang maha dahsyat melalui novel Ayat-Ayat Cintanya, karya-karya Kang Abik terus menjadi buruan ramai.

Dan begitu juga dengan novel beliau Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2, Dalam Mihrab Cinta, semuanya menghasilkan gelombang tsunami dunia penulisan Indonesia. Orang mula minat membaca novel terutama novel-novel yang berciri Islami. Kang Abik telah meletakkan batu asasnya kepada penulis-penulis lain sehingga selepas dari itu toko-toko buku dibanjiri dengan novel-novel Islami.

Dan tidak sedikit novel-novel tersebut memecahkan rekod jualan terlaris!

Kini Kang Abik menyajikan pula sebuah novel baru yang bakal membuakkan ombak besar juga.

Bumi Cinta mengisahkan perjalanan hidup Ayyas, seorang mahasiswa yang sedang menyelesaikan studinya di Rusia. Mengapa Kang Abik memilih negara Rusia untuk setting kali ini?

Kerana rasa bimbang sekaligus rasa tanggungjawab beliau terhadap kesucian Islamlah maka beliau telah memilih Rusia sebagai lokasi dakwahnya kali ini.

Di tengah-tengah kemajuan dan kemodenan teknologi kini hampir segalanya dapat dicapai. Dunia perubatan semakin menemukan ramuan-ramuan untuk kekal sihat, ilmu-ilmu pengetahuan semakin luas dapat diterokai manusia, segalanya terasa hampir dan begitu dekat untuk dimiliki tanpa membutuh bantuan dari siapapun, sehingga lama kelamaan generasi yang lahir di tengah-tengah dunia baru ini punya satu keyakinan yang ditanam bahawa apa guna Tuhan lagi jika kita sudah mampu adakan semuanya dengan sendiri?

Ateisme. Para ateis ini semakin membanyak dan membesar pula keluarga mereka sehingga bahkan di negera Islam sendiri fahaman tidak mempercayai Tuhan ini tidak sedikit hitungan pengikutnya!

Begitu mereka merasa sudah mampu punya segala, begitu rasa tidak percaya Tuhan menebal di dada. Tuhan telah mati.

Atas kerana itu lahirlah sebuah Bumi Cinta. 

Kang Abik pada karya-karya terdahulu sering menjadikannya sebagai medan beliau untuk berdakwah. Tempat untuk mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Begitu juga dengan nukilan beliau kali ini.

Untuk para Ateis, manusia yang kamu kagumi seperti Karl Vogt, Sigmund Freud, bahkan Karl Marx dan juga Nietzsche, habis dicencang-cencang, dilumat-lumat, dan dilenyek-lenyek oleh watak Ayyas di dalam Bumi Cinta ini. 

Novel ini membicarakan tentang fahaman para Ateisme dengan mudah disertakan dakwaan-dakwaan mereka  terhadap agama. Lalu disuguhkan pula hujah-hujah yang membuktikan kewujudan Tuhan sehingga melemahkan terus sendi-sendi Ateis ini untuk bangkit melawan.


Iklan. Fahaman Ateis ini bukan sesuatu yang baru. Ia telah lama wujud atas desakan kehidupan yang pelbagai. Seniman Indonesia, Achdiat K. Mihardja (meninggal 8 Julai 2010) telah menuliskan sebuah novel tentang Ateis ini berjudul 'Atheis'. Buku ini diterbitkan kali pertama pada tahun 1949, sehingga kini ia telah diulang cetak sebanyak 33 kali! Dan baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi sebuah toko buku di Kuala Lumpur yang menjual khas buku-buku dari Indonesia. Saya memang telah lama mencari buku ini dan kebetulan berjumpa ketika itu. Novel Atheis ini juga pernah difilemkan dengan tajuk yang sama pada tahun 1974. Nantikan ulasan Atheis. Iklan.

Selain itu, novel Bumi Cinta ini juga membawa kita untuk menilai tahap keislaman kita sendiri melalui watak utamanya, Ayyas. Beliau selama keberadaannya di Rusia diuji dengan ujian yang hebat.


Terpaksa duduk bersama dengan dua orang wanita bukan muhrim di dalam satu apartmen di negara Rusia adalah satu musibah yang besar bagi Ayyas. Di negara yang seks bebas telah menjadi rutin harian ditambah dengan kejelitaan para wanita Rusia itu sendiri membuatkan sesiapa sahaja bergetar hatinya jika berada di kedudukan Ayyas seperti dalam novel ini. Satu rumah dengan dua wanita cantik Rusia yang salah seorang darinya bahkan seorang pelacur kelas atasan!

Untuk mengetahui kisah Ayyas selanjutnya sila dapatkan Bumi Cinta.

Dari komentar-komentar yang saya perolehi, rata-rata menyatakan bagus untuk novel ini. Sebuah lagi karya agung dari sasterawan Indonesia.

Buku ini harus dibaca. Ia menyegarkan!

Friday, September 3, 2010

Di Hadapan Pulau - SN A Samad Said



Buku yang berada di tangan saya ini adalah cetakan ketiga tahun 1995 oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur.

Novel ini mengisahkan sebuah masyarakat kampung yang hidup pada suatu masa dahulu pada tahun-tahun 1940-an. Dengan latar kampungan itu, SN A. Samad Said, membina satu watak demi satu watak untuk menghidupkan mini novel Di Hadapan Pulau ini.

Perang. Kesan peperangan kepada manusia, zahir dan batinnya, kanak-kanak dan warga dewasanya, membawa penulis (A. Samad Said) tergerak untuk melukiskan segala bentuk tekanan dan gangguan emosi yang dilalui oleh mereka akibat perang tersebut di dalam novel ini.

Novel ini mengambil suatu tempoh masa di Tanah Melayu ketika itu yang diserang tentera Jepun. Kekacauan hidup terus sahaja melanda penduduk kampung di situ akibat dari berita bakal tercetusnya peperangan. Semua dari mereka berasa gusar dan ketakutan dalam waktu khabar-khabar angin mengatakan perang akan terjadi.

Kesusahan dan kepayahan mereka, Pak Samad rakamkan buat kita rasai. Bagaimana kesan perang tersebut tidak hanya dialami manusia namun juga turut dirasai tempiasnya oleh haiwan seperti yang dinyatakan pada muka surat 83,

"Mokmeng (seekor monyet) sendiri pun nampaknya mula merasakan perit perang itu; tidak lagi orang menghulurkannya kacang atau pisang seperti selalu, ..." (Di Hadapan Pulau : 83)

 Sehinggakan kesan desakan hidup akibat peperangan itu, manusia bahkan sanggup membunuh Mokmeng (watak seekor monyet di dalam novel ini) untuk dimakan kerana terlalu sukarnya untuk mendapatkan walau sebutir beras pun ketika itu.

"... dan alangkah terperanjatnya dia melihat di hadapannya tersungkur mati seekor monyet, hilang sebelah tangan dan sebelah kakinya."

"... dan serta merta itu juga dia terbayang bagaimana Kapten Hebat memakan tangan dan kaki Mokmeng." (Di Hadapan Pulau : 131) 

Begitulah perang mengesankan mental manusia sehingga hilang kewarasannya.

Iklan. Dan terbaru didengari bahawa ada yang menaja para demontrasi yang membakar bendera Malaysia itu. Melihatkan situasi yang semakin tidak terkawal ini, kerajaan Indonesia harus bersikap lebih tegas terhadap rakyatnya yang sewenang-wenangnya membakar bendera negara Malaysia dengan tanpa adabnya untuk menghormati kemerdekaan negara Malaysia yang ke-53 pada 31 Ogos yang lalu. Juga dengan tanpa segan mencemari bulan Ramadhan yang sedang dirai oleh umat Islam DAN yang ironiknya kedua-dua negara 'dimajoritikan' oleh umat Islam di dalamnya! Lihat bagaimana berkuasanya perang sehingga manusia tak mampu lagi berfikir menggunakan akal sehingga bertindak mencela, mencaci sesama Muslim. SESAMA MUSLIM! Sesama Muslim di bulan Ramadhan. BULAN RAMADHAN! Semoga Tuhan Rabbulizati memakbulkan doa-doa kami yang cintakan keamanan.Iklan.

Dahsyatnya sebuah peperangan itu. Juga pada novel ini penulis (A. Samad Said) menuliskan bahawa sesungguhnya bukan sahaja manusia itu kehilangan akalnya kerana peperangan, namun juga manusia itu sanggup untuk kehilangan maruahnya!

Watak Rosiah di dalam novel ini diceritakan sebagai seorang wanita Melayu yang begitu menjaga kemuliaan seorang wanita pada masa sebelum perang itu. Seorang yang sopan santun dan berakhlak pula. Namun ketika perang meletus, manusia seperti Rosiah ini bahkan rela untuk kehilangan harga dirinya, yang disanjung sebelum ini, demi untuk kelangsungan hidup di kala perang ketika itu. Yang mana seperti yang diperikan, ketika perang itu sumber makanan memang sangat sukar untuk didapati. Ini membuatkan penduduk kampung melakukan apa sahaja demi sesuap nasi. Ini jugalah yang membuatkan Rosiah mengambil keputusan untuk menyerahkan diri dan maruahnya kepada seseorang yang daripadanya mampu untuk dia (Rosiah) dapatkan sesudu nasi.

"... Walaupun lelaki tersebut berpakaian sojar, tapi Aziz tahu lelaki tersebut bukannya seorang sojar Jepun. Dan wanita yang terperanjat di hadapannya itu segera dikenalinya - Rosiah, sesuatu yang tidak diduganya sama sekali." (Di Hadapan Pulau : 121)

Novel Di Hadapan Pulau ini sebuah novel lama namun kesan perang seperti yang dinyatakan di dalamnya tetap terasa benar sehingga ke hari ini. Betapa sebuah peperangan itu menyeksakan, menyakitkan, dan mengubah manusia secara totalnya.

Novel ini boleh didapati di mana-mana toko buku berhampiran. Namun mungkin agak sukar untuk ditemui. Untuk memudahkan urusan boleh dibeli sahaja melalui laman sesawang Dawama. Semoga bermanfaat.






   

Wednesday, September 1, 2010

Silir Daksina - Nizar Parman


1.     Silir Daksina. Novel ini memenangi tempat kedua pertandingan novel remaja HSKU 2009 hasil tulisan saudara Nizar Parman. (klik sini untuk ke blog beliau)

2.     Novel ini mengisahkan tentang seorang remaja, (harus untuk pemenang HSKU antara ciri-ciri yang perlu diperhatikan adalah watak utamanya ialah seorang remaja) bernama Haiqal Haqimi. Hidup bersama ibu dan ayah tirinya.

3.     Suatu hari didatangi sebuah manuskrip lama yang di dalamnya terdapat tulisan-tulisan arwah ayah kandungnya. Teruja dengan kandungan manuskrip lama itu, Haiqal bertekad untuk mencari jejak kehidupan arwah ayah kandungnya itu di sebuah kampung di Johor Bahru.

4.     Keputusan beliau untuk ke Johor untuk mencari arwah ayah kandungnya telah mendapat tentangan daripada ibunya. Ibu Haiqal melarang anaknya ke Johor atas sebab-sebab tertentu yang saya kurang jelas. Apa yang di beritahu hubungan ibu dan ayah kandung Haiqal sesungguhnya tidak bahagia sehingga berpisah dan ibunya membawa Haiqal tinggal bersamanya di Kuala Terengganu. Ayah Haiqal, Abdullah bin Kayan, tinggal kesepian di Johor Bahru. Kesepian keseorangan dan kerinduan kepada anaknya, Haiqal Haqimi.

5.     Namun keputusan Haiqal telah bulat walaupun ibunya melarang keras dia ke Johor Bahru. Ibunya tidak mahu Haiqal mengikuti jalan hidup Abdullah bin Kayan.

6.     Sesampai di kampung arwah ayahnya, Haiqal disambut dengan mesra oleh penduduk kampung di sana kerana Abdullah bin Kayan ini seseorang yang disegani di situ. Sedikit demi sedikit Haiqal mula mengetahui mengenai arwah ayahnya melalui penceritaan penduduk-penduduk kampung di situ.

7.      Terdapat sedikit ilmu mengenai tarian zapin di dalam novel ini. Watak Abdullah Kayan dijadikan sumber untuk menyampaikan mengenai tarian seni zapin ini. Watak ini juga diceritakan sebagai seorang yang mencintai sastera. Dari situlah perlahan-lahan Haiqal mengenali ayah kandungnya. Dan semenjak ayahnya meninggal dunia kampung tersebut kehilangan orang penting untuk memperkenalkan tarian zapin dan sastera di kampung itu. Maka semuanya sepi setelah pemergian Abdullah Kayan.

8.      Kedatangan Haiqal ke kampung tersebut telah berjaya membuka kembali perhatian dan semangat penduduk kampung terhadap seni zapin ini. Dan cerita seterusnya adalah tentang Haiqal berusaha mengenali arwah ayahnya di kampung tersebut.

9.     Saya berkali-kali mengingatkan diri sendiri ketika sedang membaca novel ini bahawa ini adalah pemenang bagi novel kategori remaja. Tidak haruslah untuk saya mengharapkan sesuatu karya yang berat ideologi dan pemikirannya dengan bahasa-bahasa yang bersulam-sulam dari novel ini. Jadi saya membaca seadanya dengan tanggapan yang benar bahawa novel ini adalah pemenang kategori remaja.

10.    Menurut laporan panel hakim HSKU novel ini menepati ciri-ciri yang mewajarkan ia memenangi HSKU pada tahun 2009. Antaranya novel ini menampilkan watak remaja yang unggul serta mempunyai jati diri yang tinggi dan berakhlak mulia. Juga novel ini memberi sedikit sebanyak info mengenai tarian seni zapin yang makin dilupakan kini. Kekuatan novel ini juga terletak pada integrasi kaum antara masyarakat Melayu dan Cina.

11.    Tapi oleh kerana bacaan saya yang lemah saya merasa jalan ceritanya begitu mendatar tanpa graf naik turun bagi mendatangkan ghairah untuk terus membaca. Dan unsur saspens yang menurut panel hakim mampu merangsang keinginan untuk mengetahui kisah seterusnya tidak saya rasai langsung. Mungkin kerana bacaan saya yang lemah. Atau sahaja mungkin saya perlu mengulangbaca semula novel ini untuk benar-benar merasainya.

12.    Segala penceritaannya adalah disengajakan buat disesuaikan dengan tahap remaja itu sendiri agar para remaja lebih mudah membacanya dan memahaminya tanpa sebarang masalah.

13.    Apa yang penting bagi pemenang HSKU ini adalah ceritanya mampu untuk memberi nilai positif kepada para pembaca iaitu golongan sasarnya adalah remaja. Jalan ceritanya akan memberi kesan kepada remaja untuk lebih bercita-cita dalam merencana masa depannya.

14.    Mungkin saya akan menjadi tidak adil jika mengharapkan sesuatu yang lebih dari novel ini. Halnya kerana novel ini dalam kategori remaja dan panel hakim telah pula menetapkan semua ciri-ciri khas untuk diikuti bagi melayakkan mereka bertanding dalam pertandingan ini. Cuma yang membezakan novel-novel pemenang HSKU ini ialah nilai kreativiti pengarangnya. Mungkin itu yang kurang bagi saya setelah membaca ketiga-tiga novel pemenang HSKU tahun 2009 ini. Tiba-tiba teringat ketika tahun-tahun Faisal Tehrani 'menguasai' HSKU. Walaupun dalam kategori remaja, dengan ciri-ciri yang telah ditentukan pula, Faisal mampu untuk membawa kelainan dalam setiap novelnya yang memenangi HSKU ketika itu. Tidak hanya sesuai dibaca oleh remaja, malahan jalan cerita serta gaya bahasa dan olahannya juga enak diladeni oleh khalayak yang lebih dewasa. Kreativiti dan imaginasi.

15.    Apapun tidak rugi jika membaca Silir Daksina ini. Dari tajuknya sahaja ia telah unik. Selamat membaca, semoga bermanfaat.

* Sebelum terlupa, harus untuk saya memuji pereka untuk kulit buku HSKU kali ini. Cantik dan lebih membuat buku-buku tersebut terasa 'mahal'. Tahniah untuk itu.

Tuesday, August 24, 2010

Indonesia o Indonesia...

1.     Tidak tahu apa virus dan bakteria atau mungkin sahaja racun yang telah disebarkan pihak-pihak berkepentingan ini sehingga kita, wahai Indonesia, menjadi kacau sebegini. 

2.     Tentunya ada seseorang atau sekelompok manusia yang berasa hasad terhadap harmonis yang terjalin antara dua negara sebangsa seagama ini sehingga sanggup menciptakan segala permasalahan yang wujud kini antara dua negara ini. 

3.     Kejadian demi kejadian bersangkut sangkut terbawa-bawa sehingga yang terbaru ada yang sanggup melempar najis ke arah kedutaan jiran. Pastinya pihak tertentu itu bergembira dengan perkara ini yang bakal menyemarakkan api antara dua negara serumpun ini. 

4.     Bagi rakyat Malaysia yang menggunakan emosi tentu kejadian melempar najis ini sesuatu yang tidak dapat diterima akal. Ini boleh menciptakan amarah yang tidak sedikit lalu berlaku sengketa sehingga bakalan berdendam dendam antara dua negara. Namun tentunya kita tidak mahu perkara perkara yang sebegitu berlaku. Ini tentu merugikan. Kita bermusuh kerana sesuatu yang tidak jelas duduknya, sesuatu yang sekadar disensasikan pihak media yang mencuba mengada ngadakan berita berita yang panas sehingga pembaca tertarik untuk membeli ataupun menonton saluran mereka. Semua ini dilakukan demi keuntungan yang sedikit untuk poket sendiri tapi bakal memusnahkan ikatan adik abang dua buah negara.


5.     Perkara ini bertambah serius apabila ada pula yang ingin mengambil tindakan sendiri dengan mengharamkan rakyat Malaysia untuk ke Indonesia bahkan sesiapa rakyat Malaysia yang dijumpai di sekitar Indonesia akan diusir dengan terhinanya. Sesuatu yang perlu diambil tindakan segera oleh kedua dua pemerintah negara. 

6.     Sebagai seorang pembaca, banyak antara koleksi buku saya berasal dari Indonesia. Dan tidak hanya saya, namun ramai lagi pembaca Malaysia di luar sana yang meminati tulisan tulisan dari penulis negara jiran, Indonesia ini. Antara nama penulis dan novelis Indonesia yang saya punya adalah seperti Buya Hamka, Putu Wijaya, Andrea Hirata, Pramoedya Ananta, Habiburrahman, Taufiqurrahman, Vanny Chrisma, dan bahkan penulis Abdoel Moeis juga terdapat bukunya di dalam koleksi saya. 

7.     Beliau yang merupakan seorang sasterawan juga wartawan Indonesia yang disegani, sehingga nama beliau telah diabadikan pada hampir setiap jalan di kota Indonesia. Jalan Abdul Muis. Beliau merupakan seorang penulis yang telah lama saya mencari tulisannya sehinggalah terjumpa dengan novelnya yang pertama, Salah Asuhan, 1928 yang mana novel ini telah difilemkan dengan judul, Asrul Sani, 1972. 

8.     Secara peribadi saya amat meminati tulisan tulisan dari penulis Indonesia ini tanpa mengurangi kekaguman saya pada penulis-penulis  Malaysia juga. Adalah sesuatu yang malang serta rugi bahkan jijik untuk difikirkan jika suatu masa nanti kami, pembaca dari Malaysia tidak dibenarkan membaca buku buku dari Indonesia lantaran salah faham yang terjadi kini. Begitu juga sebaliknya jika pembaca-pembaca Indonesia tidak dibolehkan membaca tulisan-tulisan kami kerana angkara yang dicipta-ciptakan ini.

9.     Berdoa sempena bulan Ramadhan yang berkah ini, kita, rakyat Malaysia dan Indonesia, kembali berbaik dan saling mengamankan. Amin.





Tuesday, August 17, 2010

Melihat Buku

1. Pabila saya meletak nama melihat buku sebagai nama bagi blog ini, saya benar-benar memaksudkan perbuatan melihat itu sebenar-benarnya. Selain daripada membeli dan menyusun buku-buku yang dibeli ke dalam rak, antara perbuatan saya terhadap buku yang gemar saya lakukan adalah melihat-melihat mereka.

2. Melihat buku merupakan suatu aktiviti dan perkara yang menyenangkan bagi saya. Melihat buku tidak hanya melihat kulit-kulitnya sahaja, namun saya juga akan melihat sekalian banyak kenangan dan peristiwa dan suasana yang terikat dengan sesebuah buku tersebut.

3. Saya mempunyai beberapa buah buku di dalam rak yang jika melihatnya sahaja saya akan lekas terimbas pada bulan Ramadhan yang lepas, tahun 2009. Antara buku-buku tersebut adalah Gedung Kartun Vol : 1. Untuk pengetahuan, GK yang pertama sekali diterbitkan adalah pada tahun lepas ketika bulan puasa sebelum pejabat mereka diserbu dan dirampas majalah-majalah mereka oleh KDN. Cukup sensasi majalah ini ketika itu lebih-lebih lagi setelah KDN di bawah Hishammuddin ‘mempromosikannya’.

4. Saya masih ingat ketika bulan puasa tahun lepas, saya ke pejabat GK untuk membeli majalah tersebut di Brickfield. Masih ingat ketika petang bulan puasa itu dengan menaiki motorsikal melalui jalan Bangsar yang sesak dengan mereka yang berpusu-pusu untuk pulang ke rumah berbuka. Saya masih ingat semua itu satu-satu, jelas-jelas apabila melihat majalah Gedung Kartun Vol : 1 ini. Bahkan saya juga masih dapat melihat saudara Jonos, kartunis GK, yang menyambut kedatangan kami pada petang Jumaat yang mendung itu dengan pakaian kurta hitamnya sambil tersenyum menjemput kami masuk ke dalam pejabat GK. Semua itu dapat saya bayangkan kembali apabila melakukan perbuatan melihat itu ke atas majalah Gedung Kartun ini.

5. Sebuah lagi buku yang apabila melihatnya saya akan terbayang kenangan ketika membacanya. Buku ‘Baromkeh matamu di mataku’ hasil tulisan Ummu Hani Abu Hassan. Saya menamatkan bacaan pada buku ini beberapa tahun yang lepas ketika sedang bercuti di Johor Bahru.

6. Masih jelas ketika membaca buku ini saya sedang bersantai-santai di bilik hotel sambil menghadap negara Singapura di seberang sana. Novel ini memenangi tempat ketiga pertandingan novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2007.

7. Melihat kembali novel ini di rak, membuat saya teringat akan negeri Johor dan kenangan-kenangan ketika berada di sana.

8. Menjadi tabiat saya apabila ke mana-mana akan membawa paling tidak sebuah buku untuk di baca. Ini bermakna setiap buku saya mewakili tempat-tempat yang pernah saya singgah sebelum ini. Seperti buku ‘165 Kebiasaan Nabi saw’ ini. Saya membaca buku ini ketika berada di dalam kereta api menuju ke negara Thailand. Perjalanan yang jauh membuatkan saya mempunyai masa yang banyak untuk membaca buku ini.

9. Buku karangan Ust Abduh Zulfidar Akaha ini sebenarnya merupakan terbitan dari Indonesia dan telah menjadi antara buku terlaris di sana. Buku ini membicarakan 165 dari kebiasaan Rasulullah saw semasa hayatnya mencakupi masalah ibadah, syariat, juga berkaitan dengan masalah-masalah yang bersifat manusiawi. Buku ini sangat bermanfaat untuk dijadikan rujukan sepanjang masa.

10. Berketepatan dengan bulan puasa kini, saya ingin memetik satu daripada kebiasaan Baginda saw yang terdapat di dalam buku ini. Pada kebiasaan yang ke 76, di muka surat 223 dituliskan mengenai solat malam.
“Dan dari Aisyah ra, ia berkata, ‘Rasulullah saw bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan tidak seperti kesungguhan beliau di bulan-bulan yang lain.’ (Muslim)
Menjelma sahaja bulan Ramadhan Baginda Nabi saw akan memperbanyakkan ibadah dan amalan pada sebelah malamnya seperti solat tahajjud atau yang kemudiannya dikenal dengan istilah solat tarawih. Perkara untuk miningkatkan amalan di bulan Ramadhan ini telah disebut sekalian banyaknya oleh Baginda saw berserta dengan ganjaran-ganjarannya pula.
Rasulullah saw bersabda, maksudnya,
“Barangsiapa yang mendirikan solat di bukan Ramadhan kerana iman dan mengharap ridha-Nya, maka diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Muttafaq Alaih)

11. Kepada semua, selamat melakukan ibadah-ibadah dengan banyak dan dengan berkualitinya sepanjang bulan Ramadhan ini. Sama-sama merebut kesempatan yang ada sementara masih berkesempatan.

**Kebelakangan ini rak buku saya menjadi meriah dengan kehadiran buku-buku dari penulis-penulis besar seperti Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, A. Samad Said, Abdoel Moeis, Muslim Burmat, dan beberapa yang lain. Saya masih tidak berkesempatan untuk berkongsi buku-buku tersebut di sini. InsyaAllah saya cuba melihat-lihat masa yang terluang untuk menuliskan entri mengenai buku-buku baru tersebut.





Monday, August 9, 2010

Ramadhan 2010

1. Tinggal tidak berapa hari sahaja lagi kita umat Islam di dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang di tunggu-tunggu kehadirannya oleh kita semua. Bulan yang mana di dalamnya penuh dengan keberkahan. Bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Bulan yang kita akan berpuasa siangnya, dan beribadah pada malamnya. Bulan yang tidak putus-putus keampunan daripada Tuhan Rabbul Jalil. 

2. Melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan ini, seperti yang dilontarkan oleh seorang ustaz, biarlah dengan langkahan orang yang mempunyai ilmu di dadanya. Mempunyai ilmu tentang Ramadhan, tentang puasa, tentang bersahur, tentang berbuka, tentang tarawih, tentang tadarus, tentang qiamullail, tentang, tentang, tentang, tentang, ilmu, ilmu, ilmu, ilmu. Biarlah sebagai seorang hamba yang mengerti tentang apa yang sedang dilakukannya buat dipersembahkan kepada Tuhan Azzawajalla. 

3. Kini banyak cara yang boleh dilakukan untuk mendapatkan ilmu. Salah satunya adalah dengan buku. Saya kembali melihat-lihat rak buku, dari satu buku ke satu buku yang mempunyai kaitan dengan bulan Ramadhan, bulan puasa. Dan kebanyakan buku yang berada di dalam rak saya adalah mengenai soal jawab dan fatwa-fatwa dari mereka yang arif. 

4. Perlahan-lahan akan melakukan ulangkaji sendiri, mengingat kembali perkara-perkara berkaitan puasa yang mungkin telah terlupakan. 

5. Mengucapkan, selamat menyambut bulan Ramadhan, selamat berpuasa, selamat beribadah, selamat meraih cinta Ilahi.

Monday, July 26, 2010

Sutan Baginda - SN Dato' Shahnon Ahmad



1. Sutan Baginda merupakan sebuah novel lama daripada pengarang tersohor negara, Shahnon Ahmad. Diterbitkan kali pertama pada 1989 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Rasa bertuah tidak dapat disembunyikan ketika kali pertama memegang nashkah buku ini di tangan. Menambahkan lagi koleksi buku Pak Shahnon di dalam rak.

2. Secara sinopsisnya, novel ini berkisah tentang seorang ahli politik yang diberi nama Sutan Baginda. Watak Sutan Baginda@Su@Utan digambarkan sebagai seorang politikus yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya memegang tampuk pemerintahan negara. Segalanya sanggup beliau lakukan termasuk menggadaikan maruah diri serta maruah isteri-isteri beliau juga.

3. Menurut apa yang diperkatakan oleh Zulkefle Dollah di dalam buku ‘Shahnon Ahmad dalam esei dan kritikan’ mengenai novel ini bahawa Sutan Baginda merupakan sebuah tulisan yang mendekati teori Islami di dalamnya. Apa yang dikata sastera Islami itu turut diterangkan oleh beliau dengan menyatakan bahawa teori sastera Islami itu mementingkan tujuan atau matlamat dalam penghasilan sesebuah karya.

4. Jika begitu memang layak dikatakan novel Sutan Baginda sebuah novel bercorak Islami. Shahnon Ahmad memulakan novel dengan penceritaan dari sudut pandang beberapa orang yang rapat dengan watak Sutan Baginda seperti isteri pertama dan kedua serta perempuan simpanannya. Menerusi penceritaan mereka itu kita (pembaca) dikenalkan kepada siapa itu Sutan Baginda dari sisi orang sekelilingnya. Dan diakhir bab kita baru dimasukkan ke dalam diri Sutan Baginda itu sendiri supaya lebih memahami watak Sutan Baginda ini apabila Shahnon Ahmad menulis tentang monolog dalaman Sutan Baginda kepada pembaca.

5. Sutan Baginda adalah seorang pemain politik yang kejam dan penuh bernafsu dalam mainan politiknya. Seperti yang berkali diterangkan oleh Pak Shahnon bahawa penekanan serta tekanan hidup yang mengharukan serta menggelisahkan jiwa telah menjadi unsur yang melahirkan dan mengilhamkan sesebuah karya beliau. Begitu jugalah dengan novel Sutan Baginda ini. Tekanan yang membuncahkan hati semasa beliau terlibat dengan politik selama beberapa tahun itu telah melahirkan Sutan Baginda ini.

6. Dan seperti kata Pak Shahnon juga bahawa seseorang sasterawan harus berkarya berdasarkan realiti masyarakatnya tanpa menyembunyikan kebenaran yang berlaku. Begitulah juga Sutan Baginda terlahir dengan penuh erotika di dalamnya seolah Pak Shahnon mahu memberitahu politikus (paling tidak semasa zaman beliau) tidak dapat dipisahkan dengan skandal.

7. Membaca Sutan Baginda seolah membaca sebuah tulisan picisan yang mengangkat tema seks yang matlamat utamanya adalah memberi keghairahan dan kesedapan buat pembaca tanpa tujuan dan hala tuju yang pasti. Namun seperti yang ditegaskan Pak Shahnon pada tulisannya yang lain, seperti yang diterangkan pada not 6 di atas, pengarang harus berani membawa kebenaran yang berlaku dalam bangsa atau negaranya walaupun hal itu mungkin merupakan sesuatu yang menjijikkan, meloyakan, dan tidak sopan. Namun yang membezakan karya yang baik, yang asli, serta penuh estetika dengan karya picisan murahan adalah peleraian serta jalan keluar yang dibentangkan di dalam karya tersebut. Peleraian-peleraian terhadap masalah yang ditimbulkan pengarang itu merupakan tujuan serta matlamat utama sesebuah karya dihasilkan.

8. Dengan menggunakan realiti yang terjadi, yang mencerminkan kehidupan masyarakatnya, pengarang perlu bermain dengan imaginasi serta mengerah daya kekreatifan pada tahap paling tinggi untuk menghasilkan sebuah karya yang betul-betul bermutu.

9. Bila Pak Shahnon menuliskan Sutan Baginda dengan penuh aksi erotika serta seks di hampir setiap helaian muka suratnya, seolah mahu memberitakan tentang kebobrokan politikus-politikus yang sedang berpolitik semasa zaman beliau.

10. Dan perlu untuk setiap karya yang baik itu disuguhkan peleraiannya, Pak Shahnon telah menamatkan kisah Sutan Baginda ini dengan tragis sekali. Segala tipu helah dan muslihat yang cuba dimainkan oleh Sutan Baginda dalam usaha beliau untuk menjatuhkan pemimpin tertinggi telah menemu jalan buntu. Rancangannya gagal secara total! Dan kerana kegagalan itu beliau menjadi kurang siuman dan disisihkan pula oleh isteri-isteri dan kawan-kawannya. Pak Shahnon akhirnya ‘menghukum’ watak Sutan Baginda ini dengan menamatkan riwayatnya dengan kematian yang paling jijik.

11. Walaupun novel ini dipenuhi oleh lambakan erotika, namun menurut Kassim Ahmad, novel ini diselamatkan daripada menjadi novel pornografi apabila Pak Shahnon menggunakan bahasa-bahasa simbolik dan kiasan yang sememangnya menjadi kepandaian sasterawan negara ini bermain dengannya. Tetapi saya secara peribadi berpandangan kiasan-kiasan yang digunakan Pak Shahnon dalam novel Sutan Baginda ini pada sebahagian-sebahagian tempat sudah tidak menjadi kiasan lagi. Ia telah jelas maksud dan gambarannya. Mungkin pada ketika novel ini mula-mula ditulis, perkara itu masih dianggap kiasan tapi pada masa kini, ia tidak lagi. Mungkin.

12. Novel ini sebuah bacaan yang memperlihatkan kepada kita tentang keadaan politik tanah air pada masa ia ditulis iaitu sekitar tahun akhir 80 an. Bahkan realiti itu masih tetap berlaku sehingga ke hari ini. Menjadikan novel Sutan Baginda ini tidak tenggelam di makan usia. Kepada anda yang meminati tulisan-tulisan Pak Shahnon, pasti tidak akan berasa rugi memiliki buku ini walau Sutan Baginda ini tidaklah segah karya-karya beliau yang lain seperti Srengenge, Ranjau Sepanjang Jalan, dan lain-lain. Selamat membaca dan selamat mengambil manfaat dari bacaan.

Saturday, July 10, 2010

Dr Danial Zainal Abidin


1. Kepada yang pernah mendengar ceramah, kuliah, seminar, ataupun khutbah Dr Danial Zainal Abidin ini, pasti akan merasakan aura tenaga yang disampaikan melalui cara penyampaian beliau yang sungguh bersemangat dan penuh menarik minat.

2. Dilahirkan pada 21 Julai 1955 di Kampung Manggis, Sungai Ara, Pulau Pinang. Merupakan anak kedua daripada enam orang adik beradik kepada pasangan Hj Zainal Abidin bin Hasan dan Hjh. Che Su bte Hj Jamaluddin.

3. Menerima pendidikan awal di Pulau Pinang sebelum melanjutkannya ke Universiti Iskandariah, Mesir, dalam bidang perubatan dan pada tahun 1981 beliau memperolehi ijazah M.B.Ch.B. dalam bidang tersebut.

4. Sekembali ke tanah air beliau membuka sebuah syarikat, Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. Disamping turut menjadi pengurus dan pengamal perubatan di Klinik Syifa, Gelugor, Pulau Pinang.

5. Dikurniakan dengan lapan orang cahaya mata dengan dua orang isteri. Beliau kini giat diundang memberi ceramah-ceramah dan motivasi-motivasi di radio dan televisyen serta pelbagai tempat lagi.

6. Dr Danial Zainal Abidin bukan sahaja memikat dengan kata-kata di atas pentas, tetapi juga amat menarik pada tulisan-tulisan beliau.

7. Saya sempat memperolehi dua buah buku tulisan beliau beberapa tahun yang lepas. Satu, Quran Saintifik, dua, Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad (edisi kemas kini). Dua buah buku yang mengagumkan!

8. Seperti yang disebutkan oleh Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, ‘Dr Danial berjaya menghidangkan pembaca dengan bahan ilmiah tetapi mudah untuk difahami.’ Memang buku-buku serta ceramah-ceramah beliau dipadatkan dengan ilmu dan fakta sains serta dikaitkan pula dengan kebenaran Al Quran pada setiap pertemuan terbaru para saintis. Sangat mengujakan beliau dengan fakta-faktanya. Tapi disebalik ilmu sains dengan segala kerumitannya itu, Dr Danial berjaya membuat khalayak pembaca untuk memahami ilmu-ilmu sains itu dengan bahasa yang mudah.

9. Kombinasi yang menjadi saya kira antara Dr Danial dengan penerbit buku beliau yang saya miliki, PTS Millennia Sdn Bhd. PTS memang dikenali dengan reka kulitnya yang menarik. Kebanyakan buku-buku yang diterbitkan oleh PTS boleh dikatakan ilustrasi kulit depannya tidak pernah mengecewakan. Begitu membuat kita teruja untuk mengambil dan membelek beberapa helai halaman di dalam. Dan bila digabungkan pula dengan segala fakta sains Dr Danial, ia menjadi lebih mengujakan untuk dibaca.

10. Membaca tulisan-tulisan Dr Danial anda akan berasa maju beberapa langkah ke hadapan dengan segala bahan yang dipersembahkan. Tiada rugi memiliki buku-buku beliau. Selamat membaca dan mengambil manfaat daripada bacaan.

Thursday, July 8, 2010

50 Buah Buku Setahun


1. Goodreads Malaysia telah melancarkan semacam satu kempen membaca 50 buah buku setahun baru-baru ini. Klik, sini.

2. Kebetulan sasaran saya untuk tahun ini juga adalah sebanyak 50 buah buku yang harus dibaca. Jika dikira menggunakan kalkulator, setahun bersamaan 12 bulan. Sebulan bersamaan 4 minggu (secara kasar). 4 minggu didarabkan dengan 12 bulan menjadi 48. Bermakna untuk mencapai 50 buah buku dalam setahun, kita perlu membaca sebuah buku (paling kurang) dalam seminggu. Sebulan 4 buah. Setahun 48 buah. Lagi 2 buah buku boleh ditambah dalam mana-mana masa terluang sepanjang tahun ini.

3. Setakat bulan Julai ini, saya baru sahaja membaca buku yang ke 23. Ketinggalan 4 buah buku jika dikira secara matematiknya. Bermakna dalam mana-mana minggu di dalam tahun ini saya perlu membaca 2, ataupun 3 buah buku! Dan ini memerlukan disiplin yang paling tinggi untuk menggapai sasaran 50 buah buku setahun.

4. Apa yang penting, seperti yang disebut orang selalu, bukan kuantitinya tetapi kualitinya. Masukkan yang berguna dan bermanfaat serta faedah dan pencerahan yang kita perolehi hasil dari bacaan tersebut. Seperti kata ustaz, 'biar baca banyak, yang penting faham, dari baca sedikit tapi tak faham.'

5. Kepada pembaca tegar atau sahaja yang sedang ketegaran membaca dan kepada pembaca yang tidak pernah tegar juga adalah dialu-alukan untuk mendaftar di Goodreads Malaysia menerusi pautan di atas.




 

Wednesday, July 7, 2010

Gadis Oren (Appelsinpiken)


1. Setiap kali setelah menghabisi bacaan pada buku-buku terbitan ITNM saya harus sekali untuk mengucapkan tahniah dan syabas buat mereka. Buat kakitangan-kakitangan mereka, lebih-lebih lagi buat para penterjemah yang telah melakukan terjemahan yang begitu baik menurut saya.

2. Gadis Oren. Buku terbitan ITNM yang baru sahaja saya habisi. Kisah tentang seorang ayah, yang sebelum meninggal dunia sempat menulis sepucuk surat yang panjang untuk dibaca anaknya apabila sudah dewasa kelak.

3. Kerana ketika ayah tersebut berada pada penghujung nyawanya, anaknya itu masih kecil dan tidak banyak yang dapat mereka perkatakan apabila berada berdua. Itu membuat sang ayah merasa perlu mengarangkan sepucuk surat buat dibaca sang anak apabila dewasa kelak.

4. Kandungan surat itu adalah mengenai bagaimana kisah permulaan terjadinya perkenalan sang ayah dan Gadis Orennya itu. Gadis Oren disini merujuk kepada ibu anak itu. Bagaimana pertemuan pertama di dalam keretapi, jatuh cinta pandang pertama, disusuli pertemuan-pertemuan seterusnya, bagaimana mula mengalir suatu rasa indah ketika dapat melihat cahaya mata dari kedua-dua mereka, semuanya sang ayah perikan di dalam surat untuk anaknya itu.

5. Jostein Gaarder. Penulis asal novel Gadis Oren ini, atau judul aslinya Appelsinpiken, dilahirkan pada 8 Ogos 1952, di Oslo, Norway. Merupakan seorang penulis yang giat menulis novel, cerpen serta buku kanak-kanak. Novel beliau Dunia Sophie merupakan novel yang melonjakkan nama beliau di dalam dunia penulisan. Novel tersebut telah diterjemah kepada lebih 53 bahasa di dunia! Nama beliau sebenarnya sudah tidak asing kepada peminat-peminat sastera dunia.

6. Sesuatu yang sangat menarik minat saya terhadap buku ini adalah tahap terjemahannya. Si penterjemah telah melakukan kerja yang sangat bagus. Bahasa yang digunakannya begitu lembut dan berseni sehingga kadang-kadang terasa novel ini aslinya dari bahasa Melayu!

7. Tahniah untuk si penterjemah.

8. Cuma ketika berada pada akhir cerita saya seperti hilang arah terhadap apa yang cuba disampaikan. Hilang punca. Terasa seperti sesat seketika dalam bacaan.

9. Apa-apa pun pujian tetap mahu saya berikan kepada ITNM dan penterjemahnya untuk novel ini. Kerja keras mereka bermutu dan sangat perlu untuk dihargai.

10. Novel Gadis Oren terbitan ITNM ini merupakan cetakan pertama tahun 2009, boleh dimiliki dengan hanya RM 20.00. Novel ini sangat berbaloi untuk dimiliki dan akan menjadikan nian indah rak buku kalian dengan buku ini tersusun di situ.

11. Selamat membaca dan selamat mengambil manfaat daripada bacaan.

Monday, June 28, 2010

Ip Man, Ruang Perjalanan, dan Senaman Tua


1. Saya berkesempatan untuk menonton filem Ip Man 2 baru-baru ini. Sebuah filem mengenai sejarah hidup seorang tokoh seni mempertahankan diri terkenal China, Yip Man. Beliau lahir pada 1 Oktober 1893 di daerah Foshan, China. Merupakan orang yang bertanggungjawab mengembangkan seni mempertahankan diri Wing Chun yang berasal dari negara China ke seluruh dunia. Antara anak didik beliau yang terkenal adalah Bruce Lee. Beliau meninggal dunia pada 2 Disember 1972 ketika berusia 79 tahun akibat kanser yang dideritainya sekian lama.

2. Filem Ip Man (1 dan 2) ini begitu menarik minat saya. Walaupun saya bukan di kalangan penggila filem, namun menonton filem ini, saya dapat merasakan semangat serta mesej yang cuba disampaikan oleh pengarahnya.

3. Peribadi Yip Man dalam filem ini begitu memikat para penonton. Sifat tenangnya sentiasa didahulukan walau dalam setiap situasi apa pun. Falsafah serta pegangan hidupnya mengenai seni mempertahankan diri ini juga amat baik untuk dihayati.

4. Bagi beliau, mempelajari sesuatu ilmu mempertahankan diri itu bukan sekadar untuk memiliki kekuatan dan menjadi yang terhandal di antara yang lain, namun seni itu adalah lambang kepada sesuatu bangsa dan harus menjadi kebanggaan bangsa itu sendiri. Kerana itu beliau menjadi begitu gigih mengajar dan mengembangkan seni kung fu Wing Chun ini ke serata benua untuk memperkenalkan bangsa dan budaya masyarakat China kepada dunia.

5. Saya menjadi teringat kepada seorang guru silat di Malaysia yang sangat berusaha dengan keras untuk menjadikan silat Melayu sesuatu yang dikenali ramai. Beliau yang saya maksudkan adalah Tuan Guru Azlan Ghanie.

6. Dalam dunia persilatan di negara kita, nama beliau begitu disegani. Beliau merupakan tulang belakang kepada penerbitan majalah Seni Beladiri yang diterbitkan pada setiap bulan. Majalah Seni Beladiri ini merupakan satu-satunya majalah yang berani membawa kepada khalayak ramai kisah tok guru-tok guru silat di Malaysia dan Indonesia yang mana sebelum ini majalah ini dikenali dengan nama Pendekar.

7. Satu lagi usaha Tuan Guru Azlan Ghanie untuk memartabatkan seni silat ini, beliau telah mengarang sebuah buku yang dijudulkan, Senaman Tua. Menonton filem Ip Man membuat saya teringat dan kembali menyelak rak mencari buku Senaman Tua itu.

8. Buku ini diterbitkan kali pertamanya pada tahun 2007 oleh Azlan Ghanie (M) Sdn Bhd. Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Tuan Guru Azlan Ghanie, “buku Senaman Tua ini bagai membuka tudung yang menutup hidangan nikmat ilmu Melayu. Ia asal dari beladiri bangsa itu yang menjuruskan kepada kecergasan, kekuatan, kepantasan, dan ilmu tempur.”

9. Tidak banyak yang dapat saya perikan di sini mengenai buku ini kali ini, namun insyaAllah jika punya kesempatan di lain ketika, saya akan menulis entri melihat buku Senaman Tua.

10. Beberapa ketika dahulu, saya pernah berada bersama untuk merasai rencah dalam dunia persilatan ini. Pengalaman berada di dalam hutan, di tengah malam yang sunyi dengan ditiup halus-halus angin yang lalu, hanya dicahayakan dengan lampu kalimantang sambil berkaki ayam menggerakkan tapak mengatur bunga dan buah silat di atas tanah yang kering, yang mana akan menjadi becak serta berlumpuh dengan lekas pula ketika hujannya, merupakan pengalaman yang berharga buat saya.

11. Namun berada seketika di alam persilatan itu saya masih samar-samar melihat tujuan serta matlamatnya. Hanya sebilangan kecil daripada kami yang merasakan bahawa warisan seni mempertahankan diri bangsa Melayu ini harus dipelajari dan dikembangkan agar tidak lenyap ditelan zaman sedangkan sebahagian besarnya pula masih ragu-ragu, masih tidak jelas mengapa mereka mempelajari ilmu persilatan ini. Hanya sekadar untuk memiliki kekuatan dan kemudiannya akan merasa bangga dan besar diri dengan kehandalannya bermain silat.

12. Saya juga melihat kurangnya penyatuan di antara pertubuhan-pertubuhan silat ini. Masing-masing cuba berdiri mendabik dada melalak memberitahu bahawa persatuan silatnyalah yang paling kuat, yang paling handal dengan tok gurunyalah yang paling tinggi ilmu silatnya, yang paling mengerti makna silatnya, yang paling dalam ilmu batinnya. Setiap daripada mereka merasa bangga dengan persatuan silat yang menaunginya sambil memandang rendah pada persatuan silat yang lain. Akhirnya dengan silat, kita tidak lagi dapat bersatu, dapat bersealiran memelihara warisan ini, tapi sebaliknya menjadi bahan untuk kita berpecah saling bermusuh dan berkelahi pula dalam menentukan siapa yang paling raja di dalam gelanggang silat. 

13. Ada pula yang mempolitikkan silat ini. Mereka hanya mahukan ahli yang ramai dengan mengenakan pula yuran yang pelbagai demi mengaut untung, memenuhkan poket sendiri. Soal kefahaman dan pengertian di sebalik ilmu persilatan itu tidak lagi diutamakan dalam pembelajaran kepada penuntut-penuntut baru, apa yang penting bagi mereka, yuran di bayar setiap bulan tepat pada ketikanya.

14. Ini pastinya mendukacitakan. Terpesong jauh dari falsafah seni silat Melayu itu sendiri yang mana di dalam gerakan dan tari bunganya melambangkan tentang penyatuan yang kukuh dan hubungan yang erat sesama kita, hamba Allah Azzawajalla. Bukannya saling bermusuh memamer kehebatan masing-masing.

15. Sebenarnya perkara sebegini tidak hanya di kalangan dunia persilatan alam Melayu sahaja, namun terjebak ke sekalian banyak jenis pertubuhan seni mempertahankan diri serata dunia. Kekurangan fahaman mengenai ilmu seni mempertahankan diri yang sedang ditekuni menyebabkan ramai di antara penuntut yang menyalahgunakan ilmu yang diperolehi ke jalan yang salah.

16. Dalam filem Ip Man 2, di babak yang terakhir, Sifu Yip Man didatangi seorang anak kecil yang ingin mempelajari seni kung fu Wing Chun dengan beliau. Ketika ditanya tujuannya untuk mempelajari kung fu ini anak kecil itu menjawab bahawa dia mahu belajar kung fu supaya nanti dia boleh menjadi kuat dan membuli kanak-kanak yang lainnya. Babak diakhiri dengan Sifu Yip Man menggeleng-gelengkan kepala ketika mendengar penjelasan dan tahap kefahaman anak kecil itu mengenai seni kung fu ini. Anak kecil yang dimaksudkan itu adalah Bruce Lee yang mana menjadi anak didik Sifu Yip Man yang paling dikenali. Ini menunjukkan betapa ilmu seni mempertahankan diri itu masih belum difahami fungsinya dengan benar.

17. Kebetulan ketika menonton filem Ip Man, saya baru sahaja selesai menghabiskan bacaan pada novel Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan, Ruang Perjalanan. Suka untuk saya kaitkan novel ini dengan filem Ip Man yang baru sahaja ditontoni.

18. Ringkasnya novel ini mengenai masa hadapan, mengenai kehidupan manusia di zaman akan datang. Garapan serta setingnya begitu menarik sehingga memikat saya terus membaca tanpa mahu berhenti. Diterbitkan kali pertama pada tahun 1989.

19. Penulis menggambarkan masa hadapan, di dalam abad-abad mendatang, sebagai zaman teknologi, zaman di mana manusia akan kehilangan kemanusiaannya, zaman di mana setiap insan akan kepupusan nilai insaninya.

20. Disebalik sirnanya adab dan budaya ketimuran masyarakat Melayu ketika itu, penulis menghidupkan sebuah watak, yakni watak seorang tua dari zaman lampau yang tetap hidup demi untuk membudayakan semula manusia-manusia di abad itu.

21. Novel ini mengenai nilai kemelayuan yang makin menjauh dari diri anak-anak di masa hadapan. Di masa hadapan yang mana anak-anaknya sudah tidak mengenal dan tidak mahu mengakui adanya Tuhan lagi. Kepesatan kemajuan teknologi begitu memainkan peranan yang penting kepada gejala sebegini berlaku sehingga nantinya manusia beranggapan tiada perlu lagi kepada kuasa Tuhan kerana mereka berupaya bahkan mampu beroleh segalanya dengan teknologi di masa hadapan itu nanti.

22. Ironinya mengenai filem Ip Man dan novel Ruang Perjalanan ini adalah ketika Sifu Yip Man sedaya mungkin membawa dan memperkenal serta memperkembangkan budaya masyarakat China melalui seni kung fu Wing Chunnya, S. Othman Kelantan pula bermain kala masa hadapan dengan melihat nilai-nilai budaya ketimuran yang sudah hilang dan mengarangkan sebuah novel mengenai natijahnya apabila lupusnya budaya ini kepada generasi akan datang.

23. Seperti selalu yang saya katakan bahawa saya akan berasa terpesona dengan gaya bahasa serta penulisan sasterawan negara ke-9 ini. Begitu memikat dan begitu menarik minat terhadap apa yang sedang saya baca. Ia menampilkan ragam dan langgam yang berbeza dari sasterawan-sasterawan lainnya.

24. Penutup, pastinya saya akan mencadangkan kepada khalayak untuk menonton filem Ip Man (1 dan 2) kerana, percaya kepada saya, kalian akan merenung ke dalam diri masing-masing selepas menonton filem ini. Juga, tentunya saya akan mengesyorkan novel Ruang Perjalanan buat kalian tekuni dan hadami. Ia akan membuat kalian berfikir, dan berfikir, lagi berfikir mengenai kehidupan kalian ketika ini. Dan, saya akhirnya akan berkata, peliharalah serta hargailah sekalian apa yang kita ada sebelum kita kehilangannya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...