Monday, September 14, 2009

Pemuda!! Kamu dikehendaki merata-rata!

Ihsan gambar sini


Zaman berubah. Manusia juga berubah. Datang dan pergi. Yang pergi tak mungkin kembali tapi akan berganti. Yang bakal menjadi pengganti di masa hadapan adalah anak-anak kita yang masih kecil di dalam buaian. Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya. Membentuk manusia harus sedari kecilnya.

Di persekitaran kita kini dapat diperhatikan bahawa betapa tenaga para pemuda ini amat ditagih. Dalam banyak bidang dan juga lapangan, orang-orang muda telah diberi semacam suatu tempat untuk mereka membukti dan mengasah kebolehan mereka.

Contohnya dalam bidang sukan. Bidang yang kini kita lihat amat ramai bakat-bakat muda yang diperkenalkan. Bidang sukan ini luas. Bermacam-macam jenis sukan yang ada. Dan dalam bermacam-macam jenis itu semuanya sedaya upaya berusaha untuk melatih bakat muda untuk menjamin masa depan persatuan, pasukan mahupun kelab. Para pemuda ini dilihat sebagai aset penting mereka.

Kita lihat dalam dunia politik pula. Bukankah tiap-tiap parti punya kelab pemudanya sendiri. Ini juga adalah sebagai salah satu cara untuk memastikan parti-parti politik terus diwarisi oleh pemuda yang telah di tanam semangat kepartian dalam diri mereka. Sekali lagi pemuda merupakan aset penting dalam dunia politik.

Lagi apa? Dalam bidang keagamaan. Adalah sangat penting untuk memastikan mereka yang akan menduduki dunia pada masa hadapan mengenal akan Tuhannya. Mengerti akan arahan-arahanNYA. Ketahui dimana tegahan-tegahanNYA. Dan semua ini memerlukan pemuda-pemuda yang telah tersedia minda dan tenaganya.

Demikianlah, betapa para pemuda sangat penting peranan mereka dalam memastikan kesinambungan yang berterusan. Siapa dia pemuda? Jika mengikut umur 30 juga masih muda. 40 juga di kira masih muda. Tapi usia pemuda berbeza dalam setiap aliran.

Bola sepak contohnya. Pada usia 27 ke atas anda sudah tidak dipanggil bakat muda. Namun dalam politik umur-umur 30-40 adalah suatu tempoh yang masih melayakkan anda untuk menyertai kelab pemuda mereka.

Ukuran pemuda berbeza dari satu bidang ke bidang yang lain. Secara mudah. Selagi belum tua anda di kira muda!

Di dalam bidang sastera juga kreativiti dan pemikiran serta idea para pemuda ini sangat di cari. Terdapat berbagai persatuan yang telah ditubuhkan bagi melahirkan insan-insan muda yang tidak hanya tahu menulis tetapi juga tahu cara bagaimana mahu membuahkan fikiran dan gagasan yang besar dalam setiap tulisan yang mereka hasilkan.

Selalunya para pemuda ini mempunyai ideologi serta pemikiran baharu yang lebih segar dalam setiap tulisan mereka sesuai dengan jiwa dan semangat muda mereka. Dan tenaga yang beginilah yang diperlukan dalam dunia penulisan kita sekarang. Tenaga-tenaga begini harus dilatih dan dibentuk agar terus berkembang dengan tulisan-tulisan yang lebih diiktiraf masyarakat global.

Usaha untuk melahirkan generasi penulis yang matang pemikirannya ini sebenarnya bermula dari alam persekolahan lagi. Lebih-lebih lagi di sekolah menengah yang mana subjek sastera ini di ajar secara khusus dalam aliran sastera.

Namun apa yang mengecewakan menurut Sasterawan Negara, Dato' Dr Anwar Ridhwan dalam satu tulisannya dalam majalah Dewan Sastera (seterusnya DS) keluaran September 2009 bahawa beliau merasakan seolah-olah aliran sastera ini telah dianaktirikan. Kekecewaan beliau boleh di baca lebih lanjut dalam DS.

Jika dilihat realitinya memang ada benarnya seperti yang dikatakan. Aliran sastera di sekolah-sekolah menengah diadakan hanya untuk meletakkan 'baki-baki' pelajar yang tercicir dalam pelajaran sahaja. Oleh kerana tidak melepasi tahap untuk ke aliran sains, makanya mereka dikumpulkan di dalam satu kelas aliran sastera. Dan biasanya pelajar-pelajar yang menduduki kelas aliran sastera ini mempunyai masalah-malasah disiplin kerana mereka sudah kurangnya minat mahu belajar.

Pihak-pihak sekolah mengutamakan apa yang dipanggil aliran sains ini. Masa depan lebih terjamin dengannya. Pelajar-pelajar yang bijak akan di suluh terus dalam kelas-kelas sains. Dan seperti yang ditulis tadi, hanya yang tercicir sahaja untuk dimasukkan ke dalam kelas-kelas sastera ini.

Dan sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa dan keluarga akan lebih berbangga dengan anak-anak yang mengambil aliran sains ini. Mereka lebih geliga otaknya. Pandangan masyarakat terhadap aliran sastera di sekolah sudah melekat dan sukar untuk dikikis. "Yang ambil sastera mereka yang tak minat belajar lagi saja, anak saya hendak di hantar ke universiti-universiti luar negara. Kenalah ambil sains. Lebih menjamin masa depan."

Timbul persoalan. Apa aliran sastera tiada masa depankah? Baca seterusnya tulisan SN Dato' Dr Anwar Ridhwan dalam DS bulan ini.

Menjadi penting kepada penggiat-penggiat sastera untuk memartabatkan kembali dunia penulisan ini agar masyarakat tidak lagi beranggapan, "apa gunanya sastera..."

Sedikit sebagai renungan. Baginda Nabi saw telah dikurniakan Allah swt kitab Al Quran yang merupakan suatu mukjizat yang besar sebagai tanda kerasulan Baginda saw. Al Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab adalah suatu hasil sastera agung dari Tuhan yang mana tidak sedikit yang beriman dengan Nabi saw lantaran terpesona dengan bahasa indah karangan Tuhan ini.

Di zaman sebelum agama Islam bertapak di Mekah, masyarakat di sana amat menggemari akan sastera. Syair-syair, sajak-sajak selalu didengarkan di pasar-pasar mereka. Mereka memandang hebat kepada sesiapa yang mampu untuk mengarang sajak-sajak yang indah-indah.

Dan di kala itulah Al Quran datang mengalahkan segala jenis keindahan dan keterpesonaan masyarakat Arab terhadap selain dari bahasa Al Quran. Al Quran merupakan suatu bahasa sastera yang tinggi yang tiada mungkin dapat ditandingi oleh sesiapa pada bila-bila masa.

Keindahan Al Quran selain dari bahasanya, makna dan ertinya juga amat meluluhkan setiap hati yang mendengarnya.

Begitu bagaimana bahasa indah Al Quran dihayati dan didengari sehingga kini. Bahkan sehingga akhir zaman orang akan terpesona dengan bahasa sastera dari Tuhan ini.

Lihat betapa penting kedudukan bahasa dalam penulisan sehingga dapat membentuk insan yang terdidik jiwanya.

Sehingga itu kita mengharapkan kehadiran pemuda-pemuda dengan pemikiran yang berani yang mampu membawa perisian Al Quran dalam setiap tulisan-tulisannya.

Friday, September 11, 2009

Ramadhan Bulan Kurang Membaca...!?!?

Kita kini memasuki 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan 1430H. Seperti tahun-tahun sebelumnya, bagi mereka yang rindu akan kedatangan bulan suci ini pasti berasa sangat pantas masa berlalu sehingga tidak terasakan bahawa kini sudah tiba masanya malam Lailatul Qadar untuk di rebut.

Carilah malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir. Maknanya kita kini berada pada malam-malam sebelum Ramadhan pergi. 10 malam terakhir yang sepatutnya kita tingkatkan amal ibadah kita dengan lipatan yang berganda.

Ramadhan juga dikenali sebagai bulan membaca Al Quran. Di mana-mana kita akan dapat melihat kumpulan-kumpulan besar atau kecil, bertadarus Al Quran. Di masjid-masjid, di madrasah-madrasah, di surau-surau, bahkan di rumah bersama ahli keluarga juga ada.

Masyarakat berlumba-lumba untuk menamatkan bacaan 30 juzuk Al Quran paling kurang sekali dalam bulan ini. Ini menjadikan Al Quran sebagai bahan bacaan paling popular untuk satu bulan Ramadhan ini.

Dan kerana itu bahan-bahan bacaan yang lain seperti buku-buku dan novel-novel telah menurun jumlah bacaannya. Jika di luar Ramadhan mb biasa membaca sehari 50 helaian muka surat atau lebih namun memasuki Ramadhan untuk membaca 20 muka surat pun terasa amat payah.

Ini dilihat dari beberapa perkara. Di bulan yang mulia ini sudah pastinya kita mahu mencari pahala yang lebih. Dan membaca Al Quran menjadi keutamaan dari segala jenis bahan bacaan yang lain. Nilai ganjaran yang berganda untuk satu huruf Al Quran amat rugi untuk dilepaskan.

Lagi pula inilah bulannya bagi kebanyakkan orang untuk membaca Al Quran dengan lebih serius. Di 11 bulan yang lain masa terasa amat menyesakkan sehingga untuk membuka dan membaca Al Quran terasa berat. Allah swt telah menjadikan Ramadhan bulan yang mulia dan ajaib!

Lihat sahaja kedatangan para jemaah di masjid-masjid dan surau-surau pada bulan Ramadhan ini. Ajaib bukan?!

Melimpah ruah! Terpaksa pula menambah khemah di luar!! Sungguh ajaib bulan ini. Dari mana datangnya manusia-manusia yang ramai itu sedang pada bulan-bulan yang lain boleh di hitung dengan jari sahaja para jemaah di masjid dan surau.

Ajaib Ramadhan ini! Allah swt telah menjadikan ia ajaib!

Walaubagaimanapun membaca buku dan novel tetap mb teruskan sekalipun terasa amat sedikit jumlah bacaannya. Namun itu lebih baik dari ditinggalkan terus.

Dari tiada baiklah ada...

Monday, September 7, 2009

Novel Islami - Apa sebenarnya...



Sesuatu yang perlu kita sedari bahawa kini di toko-toko buku banyak terdapat novel-novel yang dilabelkan sebagai novel Islami.

mb telah lama perasan akan hal itu. Jika ke kedai buku sahaja pasti akan ada novel-novel baru yang dari kulit luarnya dapat kita rasakan bahawa ini novel bercirikan Islam. Selalunya para penerbit akan menggunakan wajah wanita berpurdah sebagai penghias muka depan untuk memberitahu kepada pembaca bahawa ini novel punyai ciri-ciri keislaman yang sangat elok
di baca oleh khalayak ramai.
Pada mulanya hanya sekadar satu dua sahaja yang menggunakan cara penghias begini. Namun kini mb lihat sudah berlambak deretan-deretan novel sebegini. Di rak-rak buku di MPH sana bersusun novel-novel begini dengan tajuk dan penulis yang berbeza. Tapi tetap dengan kulit depan yang sama.
Apa para penerbit sudah tidak punya ideakah?

Menurut novel-novel yang dikatakan Islami yang sebelum ini pernah mb baca, kebanyakkannya berlegar sekitar dunia para muda mudi dengan keasyikan cinta yang cuba mereka jalani mengikut aturan dan tetapan agama.
Ini mb lihat sebagai sajian alternatif kepada para pembaca yang selama ini tersajikan dengan novel-novel pop yang sarat dengan mesej cinta tanpa batas. Dengarnya seperti satu gagasan mulia. Membawa kesucian berkasih sayang bertemakan Islam menggantikan kerakusan cinta berteraskan nafsu.
Tapi adakah sekadar itu sahaja? Berpusing-pusing melayan kerenah cinta sahajakah novel Islami ini? Sudah seperti filem-filem Hindustan yang tema dan jalan ceritanya sama itu-itu juga. Tidakkah nanti pembaca juga akan bosan? Mula melihat novel Islami ini sama sahaja seperti novel-novel pop yang lain. Yang beza hanya novel Islami bahasanya agak sopan dan lembut sedikit berbanding dengan novel-novel pop yang gayanya penuh dengan ghairah dan asyik di baca.
Lalu seharusnya apa yang perlu ada dalam novel-novel yang dikategorikan novel Islami ini?

mb mengambil pandangan Faisal Tehrani (seterusnya FT) mengenai perkara ini. FT dalam tulisannya menekankan supaya setiap pengarang baharu harus bersedia mencabar diri masing-masing keluar dari tempurung kebiasaan bagi menerokai wilayah sastera Islam yang lebih luas.
Novel-novel Islami yang kelihatan lembab harus disegarkan kembali dengan peranan asasnya iaitu menyelesaikan masalah ummah dengan menyarankan solusi dari pelbagai tradisi Islam.
Tulisan FT ini boleh dibaca di dalam akhbar Utusan bulan lepas.

Dengan membawakan tema Islam yang lebih meluas, para pembaca akan terdidik mindanya sekaligus melahirkan masyarakat yang mampu berfikir dan bertindak selaras dengan kehendak agama.
Ada beberapa ciri bagi sesebuah novel itu untuk digolongkan dalam kelompok novel Islami.

1. Karya tersebut harus mempunyai cerita mengenai
ketauhidan Tuhan.
2. Karya tersebut harus menunjukkan kebenaran dan
keadilan sentiasa menang
3. Karya tersebut adalah sebagai ibadah kepada
penulisnya.

Itu antara beberapa ciri yang FT berikan sebagai panduan untuk para penulis dan pengarang muda bagi meletakkan karya tulisan mereka layak di gelar novel Islami.
Novel-novel Islami yang berada di pasaran kini dilihat kurang keluar dari persoalan-persoalan Islam yang sempit. Kebolehan berfikir pembaca tidak terjana dengan membaca tulisan-tulisan sebegini. Tema-tema cinta, soal-soal hati dan perasaan sangat menguasai novel-novel Islami kini. Ini bukanlah sesuatu perkembangan yang baik. Kita sudah pasti tidak mahu dijamu dengan bahan bacaan yang hanya cinta, cinta, dan hanya cinta.

Menjadi penulis, lebih-lebih lagi membawa gelar penulis novel Islami, bukanlah sesuatu yang mudah. Perlu untuk sentiasa bersikap jujur dan bertanggungjawab atas setiap tulisan-tulisannya. Tidak hanya memberikan apa yang diminati pembaca tetapi juga selayaknya memberikan sebuah fikiran yang mampu membuatkan para pembaca berfikir setelah membaca.
Penulis perlu melihat Islam dari sudut pandang yang lebih luas. Masih banyak kemaslahatan yang berlatarkan agama boleh dijadikan bahan untuk menulis sesebuah novel.
Seperti kata FT, "inilah cabaran sastera Islam dekad-dekad mendatang."

mb berharap agar lebih banyak lagi novel-novel Islami yang bakal berada dipasaran dengan tidak hanya keagungan cinta yang dipaparkan namun sebaliknya masyarakat pembaca mahukan novel-novel yang mampu membuka minda dan membuat akal berfikir.
Penulis perlu bekerja dengan lebih keras, memerah idea dan kreativiti bagi menhasilkan cerita yang menarik. Dan harus diingat. Bahawa para pembaca tidak mahukan novel yang kandungannya menceritakan hanya hukum demi hukum, haram demi haram. Seolah-olah membaca sebuah buku teks agama.
Pembaca inginkan novel dengan sebuah penceritaan disulami bahasa-bahasa indah di samping menggerakkan akal untuk berfikir.

Sebagai akhirnya, mb menantikan kelahiran seorang penulis yang berani untuk membuat kerja dengan lebih.

Sunday, September 6, 2009

Ulang Baca-Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck


Mula sekali perlu diketahui mengapa adanya ulang baca ini.

Selalu ada beberapa sebab mengapa kita membaca berkali-kali pada sesebuah buku itu. Antara lain sebabnya adalah kerana keseronokan yang kita perolehi hasil dari bacaan buku tersebut.

Sebab lain mungkin juga kerana pada bacaan pertama kita kurang menumpukan perhatian sehingga terlepas maksud-maksud yang cuba disampaikan dari buku itu. Oleh sebab itu kita membacanya semula untuk lebih memahami. Ini sering terjadi kepada buku-buku yang non-fiksyen. Maklumat-maklumat, fakta-fakta yang menarik yang tidak mungkin untuk kita mengingatkan semuanya membuat kita mengulang baca sesebuah buku.

Namun ada satu lagi kemungkinan mengapa kita membaca semula buku yang telah di baca. Bahkan telah di baca beberapa kali pun masih tetap juga mahu diulangkan bacaan pada buku tersebut. Sebabnya adalah kerana tiada bahan/buku yang menarik saat itu untuk dibaca. Ini juga selalunya terjadi. Buku-buku yang ada semuanya telah selesai dibaca dan kebetulan tidak punya waktu untuk membeli yang baru, jadi terpaksa mengambil buku-buku lama yang telah di baca untuk di ulang baca.

Dan inilah yang terjadi kepada mb saat ini. Tidak punya buku-buku baru untuk dibaca. Buku Buya Hamka ini mb beli beberapa tahun lepas di MPH Bookstore Sdn Bhd. Dan telah ditamatkan juga pada beberapa tahun yang lepas. Kalau tak silap juga semasa bulan Ramadhan.

Kenapa buku ini? mb banyak lagi pilihan lain kalau mahu di buat pilihan. mb punya A Samad Said, ada Abdullah Hussain, juga ada Shahnon Ahmad, penulis-penulis baru pun mb ada. Seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Ummu Hani, Fatimah Syarha, Nisah Haron, Siti Jasmina, Ramlee Awang Murshid, penulis-penulis dari Indonesia dan Singapura juga ada di dalam rak. Tapi mengapa mb memilih buku Buya Hamka ini?

Jawapannya mudah. Kerana mb penggemar Buya Hamka. Lagi pula buku ini yang mb baca beberapa Ramadhan yang lepas. Dan kini Ramadhan datang lagi. mb mahu jadikan buku ini bacaan bagi setiap Ramadhan.

Buat masa ini jika diminta untuk mb menceritakan serba sedikit tentang novel ini, mb akan terang-terangan menjawab, tak bisa. Tak bisa kerana tidak berapa ingat akan kisah di dalam novel ini.
Maklum sahaja sudah berapa lama sejak membacanya dulu. Dan sebab tak berapa ingat juga inilah membuatkan mb sangat ingin mengulangkan bacaan pada novel ini.

Namun walaupun telah dibaca beberapa lama dulu, mb tetap rasa teruja ketika membaca bab-bab awal novel ini. Bahasa-bahasa Buya Hamka punya aura tarikan yang tersendiri. Bacalah seberapa kali pun tetap tidak menjemukan.

Buat akhirnya, nantikan entri mb mengenai buku ini dalam beberapa hari lagi insyaAllah.

Salam Ramadhan 1430H buat semua...

Saturday, September 5, 2009

Cerpen - Warna oleh Faizati Mohd Ali


  • Judul : Dari Suatu Tikungan Lorong
  • Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
  • Harga : RM 22.00
Cerpen ini pernah tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4 November 2007. Kemudian ia di himpun dan dijadikan sebuah buku bersama dengan beberapa cerpen yang lain.

Di lihat secara terus apa yang cuba dikisahkan oleh penulis melalui cerpen ini.

Kisah seorang wanita di sebuah kampung. Wanita itu menjadi hinaan dan bahan gelakkan di dalam kampungnya.

Puncanya cuma satu. Kerana Warna. Warna kulitnya.

Seluruh penduduk kampung memandang rendah kepada wanita itu kerana warna kulitnya yang hitam. Hitam yang paling hitam. Bahkan lebih hitam dari punggung belanga yang hitam.

Memang sangat hitamlah warna kulitnya.

Akan hal itu dia merasa rendah diri dan terhina. Sehingga pada suatu hari dia mendapat khabar. Bahawa terdapat sebuah gunung yang mana kalau sesiapa yang bertapa selama 12 purnama di atas sana, warna kulit akan berubah menjadi putih.

Wanita itu teruja dan bertekad mahu bertapa di atas gunung sana.

Diringkaskan cerita, maka putihlah akan wajah wanita itu. Gembira tiada kepalanglah akan dia.

Tidak sabar-sabar mahu pulang ke kampung memperlihatkan warna kulitnya yang sudah putih kepada sekalian warga kampung.

Namun alangkah berbezanya keadaan di kampungnya itu setelah 12 purnama ditinggalkan.

Penduduk kampung itu tidak lagi menggilai warna kulit yang putih-putih tapi kini mereka lebih gemarkan warna hitam-hitam belaka!

Warna hitam telah diangkat sebagai warna yang paling cantik dan menawan bagi penduduk kampung itu.

Jadi tidak hairan mereka menghitamkan warna kulit masing-masing.

Dan saat wanita itu pulang dengan wajah yang putih berseri, dia tidak juga menjadi cantik di mata khalayak kampung. Kerana mereka kini setelah 12 purnama berasa lebih hitam lebih menawan.

Cerpen tamat di situ.

Cerpen sengaja ditamatkan dengan keadaan wanita itu masih tercengang-cengang dengan apa yang telah berlaku.

Usaha selama 12 purnama tidak membawa apa-apa makna. Semuanya sia-sia. Dia tetap menjadi seorang yang aneh sekalipun telah berubah warna.

Cerpen yang ringkas dengan bahasa-bahasa yang mudah dihadam. Garapan yang menarik.

Penulis cuba membawa suatu perkara yang memang menjadi lazim di dalam sesebuah masyarakat. Nilai pada setiap sesuatu manusia yang tentukan. Manusia menentukan menurut keinginan dan kemahuannya pada sesuatu masa.

Oleh kerana manusia yang menilai maka nilai itu berubah mengikut perubahan manusia itu juga.

Dalam cerpen ini manusia menilai kecantikkan pada mulanya dengan warna kulit yang putih. Kemudian setelah 12 purnama nilai kecantikkan itu berubah kepada warna hitam pula.

Selain itu cerpen ini juga membawa kita untuk merasa cukup dan syukur dengan kurnia Tuhan kepada kita. Kerana pada setiap kejadian itu punya hikmah dan kebaikan yang selalunya kita tidak ketahui.

Cerpen ini boleh di baca di dalam buku Dari Suatu Tikungan Lorong.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...