Thursday, August 27, 2009

Gedung Kartun - Vol : 01


  • Judul : Gedung Kartun
  • Terbitan : Sepakat Efektif Sdn Bhd
  • Harga : RM 4.00

Mungkin dalam bulan puasa ini, selain dari bazaar-bazaar Ramadhan yang selalu di serbu orang, majalah ini sahajalah yang merupakan antara bahan yang paling di cari oleh khalayak.

Mengapa mb berkata begitu ?

Ini kerana majalah jenaka alternatif ini telah 'dipromosikan' secara besar-besaran oleh KDN sehingga kepada setiap yang tidak meminati kartun sekali pun akan tertanya-tanya majalah apakah ini ? Di mana ianya boleh di beli ?

Untuk mengetahui cara bagaimana KDN membuat 'promosi' ke atas majalah ini, sila gunakan google anda untuk mencari. Kerana mb tidak berminat untuk memperkatakan tentang promosi itu di sini.

Apa yang menarik dengan majalah ini ? Atau soalan yang lebih tepat lagi, apa yang terlebih 'panas' majalah ini sehingga ianya di rampas ?

Dilihat dari muka depan edisi pertama majalah ini dulu.

Gambar seorang watak kartun dengan nametag PM di dada meluangkan merdeka dengan memegang bendera Mongolia.

Bagi yang tidak mengikuti perkembangan politik di Malaysia pasti tertanya-tanya apa yang kelakar tentang itu ?Atau apa yang 'panas' sangat pasal itu ?

Untuk menjawab soalan itu sila banyakkan bacaan anda.

Dalam keluaran pertama ini bermacam-macam sindiran pedas terdapat di dalamnya.

Sindiran-sindirannya pula lebih kepada kerajaan pemerintah daripada kerajaan pembangkang.

Sebagai contoh, gambar seorang watak kartun menunggang seekor lembu berkepala manusia yang tertulis SPRM di lehernya.

Ini sangat mengena jika di lihat pada senario politik di Malaysia kini. Iaitu pihak SPRM selalu dikatakan memberat sebelah kepada kerajaan Barisan Nasional.

Sehingga mereka (SPRM) dikatakan menjadi tunggangan BN yang boleh di hala ke mana suka.

Lagi contoh yang boleh di bawa ialah watak kartun seorang wanita yang bermain wayang kulit dengan tangan mengawal watak wayang kulit tersebut.

Melambangkan kuasa penuh wanita tersebut ke atas watak wayang kulit itu yakni seorang lelaki.

Bagi mereka yang tidak pernah terlepas dari membaca kerenah politik tanah air pasti akan terbaca bahawa kononnya orang berkata bahawa percakapan dan perbuatan PM dibelakangnya terdapat isterinya.

Lukisan kartun itu menceritakan semuanya.

Bagi yang faham akan tersenyum sumbing. Namun bagi yang tidak mengerti akan menggaru kepala yang tidak gatal tanda mereka buntu dengan lawak jenis ini.

Boleh dikatakan kesemua jenaka-jenaka yang ditontonkan di dalam majalah ini berkaitan dengan isu semasa negara.

Isu Teoh Beng Hock, isu SPRM tadi, isu sumpah, isu Altantuya, isu sidang di bawah pokok, dan banyak lagi isu semasa yang dipaparkan di dalam majalah setebal 67 muka surat ini.

Menurut ketua editornya, saudara Zunar, kelahiran majalah Gedung Kartun ini bukan sahaja sebagai memeriahkan lagi lambakan majalah-majalah humor di Malaysia ini, namun ia juga menawarkan mesej-mesej berat yang di bawa secara santai kepada para pembaca.

Dengan cara yang santai ini rakyat dapat memahami dengan lebih mudah lagi apakah yang sedang berlaku di dalam negara Malaysia ini.

Tapi ada beberapa perkara yang pada pandangan mb masih boleh diperbaiki lagi.

Antara lainnya ialah yang berkaitan dengan jenis sketsa yang di bawanya. Boleh lagi dipelbagaikan supaya khalayak lebih mendapat tahu situasi di dalam negara dengan cara yang bersantai sahaja.

Sebagai contoh, isu kekurangan gula menjelang musim perayaan. Boleh dikartunkan dijadikan satu jenaka walaupun ianya isu yang sangat dipandang berat.

Banyak lagi isu-isu yang boleh dibawa masuk ke dalam majalah ini. Agar dapat memberi masukan-masukan berguna kepada para pembaca.

Satu lagi yang mb rasa boleh diperbaiki adalah lukisan-lukisan, tulisan-tulisan, dan susun atur kandungannya. Boleh lagi diberi sentuhan-sentuhan kemasan agar lebih menampakkan ianya sebuah majalah jenaka alternatif yang eksklusif.

Majalah ini mb peroleh terus dari pejabatnya. Di kedai-kedai buku rasanya amat sukar untuk memperolehinya.

Tapi ianya boleh dipesan terus melalui online.

Selamat membaca dan semoga terhibur.

Tuesday, August 25, 2009

Rahsia Ummi - Faisal Tehrani


  • Judul : Rahsia Ummi
  • Penulis : Faisal Tehrani
  • Terbitan : Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
  • Harga : RM 19.00

Bacaan santai. Cerita cinta terhalang. Cerita cinta agung. Cerita cinta suci. Cerita cinta syed syarifah.

Namun kadang-kadang terasa pada sekelian-sekelian bab dalam novel ini terdapat kekeliruan, ketidakfahaman apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Syed Hasan bapa kepada Syed Hairi semasa muda telah bercinta dengan Faizah ibu kepada Sharifah Aini yang mana cinta mereka terhalang kerana tidak mendapat restu kedua orang tua.

Watak dalam novel ini agak banyak dan ada yang tidak dinyatakan dengan terperinci wataknya sehingga ia muncul tiba-tiba dan kita tidak tahu siapakah dia.

Inilah satu-satunya novel Faisal Tehrani yang mb rasa begitu sukar untuk dihadam dan dilancarkan bacaannya.

Bacaan mb ternyata tersangkut-sangkut kerana jalan ceritanya. Beberapa kali terpaksa mengimbas semula bab-bab terdahulu untuk mengetahui cerita selanjutnya.

Mungkin juga kerana gaya bahasa yang digunakan Faisal dalam novel ini membuat ia begitu serabut untuk di baca.

Ada satu tahap kita bertanya-tanya, 'dialog ini siapa yang ucapkan?', 'sharifah mana yang dimaksudkan ini?', 'siapa pula dia ini?', 'kenapa jadi begini dengan tiba-tiba?'.

Soalan-soalan begitu kerap bermain dalam fikiran mb bila membaca Rahsia Ummi ini.

Bahkan Faisal Tehrani sendiri telah memberitahu bahawa ada yang menganggap novel ini sebagai gagal. Dan Faisal sendiri berasa aneh pernah mengarang novel sebegini.

Benarlah ianya aneh dan gagal!

Kesudahannya juga bagi mb sangat tergantung. Apa yang berlaku? Matikah Faizah? Kahwinkah Aini dan Hairi? Ke mana pula hilangnya Sharifah Hasina?

Mungkin FT merencana untuk membuat bahagian kedua dari novel ini. Sebab itu akhirnya penuh dengan tanda tanya.

Bukankah selalunya para penulis gemar membuat pembaca tertanya-tanya?

FT memberitahu di muka depan tentang novel ini bahawa terdapat lamaran untuk mengambil novel ini di bawa ke layar perak. Dan FT hanya sambut dengan gelak ketawa.

Satu lagi keanehan. Bagaimana pula novel yang dikatakan gagal ini berjaya memikat hati penerbit dengan bersungguh mahu novel gagal ini dilayarperakkan?

Memang novel ini aneh!

Tapi bagi mb, novel ini punya kekuatan sendiri untuk didramakan atau difilemkan sekalipun.

Ceritanya klise. Seperti filem-filem hindustan.

Cinta yang agung sanggup berkorban walau sekali pun tidak bersama.

Cinta Syed Hasan dan Faizah terhalang kerana berbeza keturunan, berbeza darjat, berbeza darah.

Sekalipun Syed Hasan telah berkahwin dengan Syarifah Hasina dengan cara paksa, namun di hatinya tetap cinta kepada Faizah.

Begitu juga Faizah. Sedikitpun tidak pernah kurang cintanya kepada Syed Hasan.

Benar-benar mirip filem hindustan. Juga kalau diperhatikan sedikit sebanyak punya persamaan dengan filem lakonan allahyarham Tan Sri P Ramlee, 'Antara Dua Darjat'.

Barangkali dengan kekuatan ini penerbit berani menawarkan novel ini untuk di bawa ke layar perak.

Akhir sekali. Apa yang mb dapat dari novel ini?

Ya selain dari kisah cinta agung, selain dari gila manusia pada nama dan keturunan, mb rasa cerita ini tetap menjadi rahsia seperti rahsianya ummi.

Tapi bukanlah satu kerugian membeli novel ini. Sebagai penggemar Faisal Tehrani, ianya sesuatu yang berbaloi mengumpul dan membaca tulisan-tulisan beliau samada tulisan lama dulu masa beliau mula-mula merangkak ke dunia penulisan, mahupun tulisan yang terkini yang dilihat makin pedas dan makin tidak menjaga hati.

Novel ini masih baru diterbitkan. Terdapat banyak naskah-naskahnya di toko-toko buku di serata tempat. Dapatkan satu untuk merasai bagaimana membaca novel 'aneh' ini.

Selamat membaca.

Friday, August 21, 2009

Maaf dari Sorga - Faisal Tehrani


  • Judul : Maaf Dari Sorga
  • Penulis : Faisal Tehrani
  • Terbitan : Al Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
  • Harga : RM 16.00

Pertama sekali biarlah semua tahu bahawa ini bukanlah novel terbaru Faisal Tehrani.

Bahkan ini adalah antara novel terawal beliau yang ditulis semasa beliau masih di bangku sekolah lagi.

Jadi novel ini tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana novel FT sebelum ini.

Memang terdapat banyak ruang lagi yang perlu diperbaiki di dalam novel ini.

Tetapi mb tetap mahu menilai buku ini berdasarkan isinya sendiri tanpa mahu peduli ianya ditulis Faisal Tehrani jauh di masa lampaunya.

Secara apa yang tertulis novel ini menceritakan kisah sebuah keluarga, Hakiki dan isterinya Sarah yang berpindah ke Malaysia dan menyewa di sebuah rumah bernombor 33.

Tajuk novel ini diambil daripada nombor rumah yang mereka sewa ini.

Hakiki bertugas sebagai seorang pegawai di sebuah bank manakala isterinya pula merupakan seorang warga Australia berbangsa Inggeris yang memeluk agama Islam apabila berkahwin dengan Hakiki.

Mereka bahagia hidup sebagai suami isteri.

Pemilik sebenar rumah bernombor 33 ini bernama Pak Cik Mokhtar yang merupakan seorang pesara tentera yang telah membeli rumah ini kira-kira 12 tahun yang lalu.

Sebelum Hakiki dan Sarah menyewa di rumah ini, terdapat beberapa penyewa yang lain yang telah menyewa lama sebelum mereka. Namun semua penyewa-penyewa itu tidak tahan lama kerana tidak sanggup diganggu dengan gangguan-gangguan yang aneh semenjak menyewa di situ.

Bahkan ada antara penyewa yang menemui ajal di rumah bernombor 33 itu.

Lantaran itu rumah bernombor 33 ini tidak berani di sewa oleh sesiapa unutk beberapa tempoh.

Sehinggakan Pak Tar terpaksa menurunkan kadar sewanya kepada RM 300.00 sebulan dari RM 800.00 sebulan.

Lalu disewalah rumah bernombor 33 itu oleh Hakiki dan Sarah yang tidak tahu sedikit pun tentang sejarah rumah bernombor 33 itu.

Mereka di rumah bernombor 33 ini berjiran dengan 2 jenis manusia. Satu bernama Hamidi Mat seorang pengurus sebuah kilang simen berhampiran. Hamidi Mat atau Pak Idi seorang Islam yang hanya pada nama.

Kehidupan seharian bersama isterinya, Mak Mah jauh terpesong dari akidah muslim sebenar.

Seorang lagi jiran yang merupakan kontra kepada Pak Idi ialah seorang ustaz. Ustaz Wan Adlin namanya.

Itu antara watak di dalam novel ini. Selain beberapa watak sokongan yang lain.

Semenjak berpindah ke sini, Hakiki dan isteri sering di ganggu oleh beberapa peristiwa-peristiwa aneh. Seperti mimpi-mimpi, bayangan-bayangan yang menakutkan.

Sehingga ke tahap Hakiki ternampakkan dirinya sendiri diyassinkan oleh orang ramai.

Untuk mengetahui kisah selanjutnya sila dapatkan novel Maaf Dari Sorga ini. Stok untuk novel ini masih banyak jadi tidak sukar untuk memperolehinya seperti novel-novel Faisal yang lain.

Penceritaan di dalam novel ini tidak terasa menyeramkan walaupun FT cuba memasukkan eleman seram itu di dalam novel ini.

Jalan ceritanya sekadar biasa tanpa sebarang apa-apa yang boleh di anggap 'bom' yang boleh membuat orang terkesan pabila membacanya.

Mb cuba meringkaskan apa yang mb fahami setelah selesai membaca novel ini.

FT cuba membawakan kisah manusia yang sudah jauh dari Tuhan lalu sedikit demi sedikit pulang ke pangkal jalan melalui hidayah yang diberikan.

Dalam novel ini, rakan-rakan dan jiran-jiran banyak memberi kesedaran kepada Hakiki suami isteri betapa peri pentingnya manusia untuk tidak menjauhkan diri daripada Allah swt.

Selain dari itu, FT membawakan makhluk lain sebagai pemberi peringatan kepada penghuni-penghuni rumah bernombor 33.

Sebenarnya rumah bernombor 33 itu selain di huni para penyewa, ia juga di huni oleh makhluk jin. Yang menurut Ustaz Wan jin Islam.

Gangguan-gangguan yang terjadi kepada penyewa-penyewa di situ adalah kerana para penyewa itu tidak beramal dengan ajaran Islam.

Mimpi-mimpi seperti menghantuk-hantuk kepala sehingga pecah merupakan bayangan kepada mereka yang enggan sujud/bersolat. Balasan-balasan kepada para wanita yang tidak menutup aurat juga didatangkan dalam bentuk mimpi kepada para penyewa.

Gangguan-gangguan ini menunjukkan bahawa jin-jin Islam itu tidak senang dengan tindak tanduk penyewa yang membelakangkan perintah Tuhan.

Ada mesej tersirat di situ yang cuba Faisal Tehrani sampaikan.

Novel ini murah sahaja. Dengan harga RM 16.00 ianya boleh di dapati di toko-toko buku berhampiran anda.

Selamat membaca.

Wednesday, August 19, 2009

Kasih Nan Agung - Sri Rahayu Mohd Yusop


  • Judul : Kasih Nan Agung (Tempat Pertama HSKU 2008)
  • Penulis : Sri Rahayu Mohd Yusop
  • Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
  • Harga : RM 19.00

Novel ini memenangi tempat pertama kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008.

Ini bukan kali pertama penulis novel ini meraih tempat dalam HSKU ini.

Di lihat-lihat balik, pada tahun 2007 dan 2006 penulisnya, Sri Rahayu Mohd Yusop juga telah mendapat tempat pertama dalam kategori remaja ini.

Bermakna ini adalah tahun ketiga kemenangan berturut-turut beliau.

Tahniah dan syabas diucapkan.

Namun bukan setakat itu sahaja yang pernah diraih oleh penulis.

Sebelum ini pada tahun 2000 penulis juga telah memenangi tempat pertama HSKU menerusi novelnya, 'Bukan Legasi Lalang'.

Kemudian pada tahun 2002, beliau meraih tempat ketiga kategori yang sama dengan novelnya yang berjudul 'Merdekakan Cinta Ratna'.

Jadi Sri Rahayu bukanlah muka baru dalam HSKU ini. Namanya juga telah dikenali ramai.

Melihat kepada muka depan novel ini, dengan seorang pemuda berdiri seorang diri berlatarkan hutan dan anak sungai, tidak dapat untuk mb kaitkan antara kulitnya dan kandungan di dalamnya.

Setelah selesai membacanya baru mb mengerti apa yang cuba disampaikan dari kulitnya.

Pemuda yang menggalas beg merah itu boleh diberikan kepada Jaka Sulaiman, watak utama dalam novel ini. Berada di dalam hutan demi mencari kebenaran yang nyatanya telah benar, tapi untuk dibuktikan kepada mereka yang bermahzab Charles Darwin ini.

Bahawa sesungguhnya manusia ini adalah hamba-hamba terpilih yang tarafnya bukan sekata dengan haiwan-haiwan di hutan.

Kerana mengikut pendukung evolusi Charles Darwin ini, manusia ini asalnya daripada haiwan. Atau lebih tepat datuk nenek moyang manusia adalah beruk!

Itu yang mereka juangkan. Dan itu yang cuba Jaka Sulaiman buktikan bahawa mereka silap dan sesat.

Judulnya 'Kasih Nan Agung' bolehlah disimpulkan setelah membaca novel ini, bahawa kasih yang dimaksudkan dengan agung itu adalah kasih ALLAH swt kepada hamba-hamba-NYA yang menuruti dan sentiasa mencari redha-NYA.

Kasih-NYA Yang Maha Agung itu telah menjadikan setiap manusia itu sebagai makhluk pilihan yang telah diciptakan-NYA dengan sebaik-baik kejadian.

Bukan diletakkan sama kedudukannya dengan haiwan di hutan. Kerana manusia itu dikurniakan akal fikiran yang mampu untuk membezakan baik buruknya sesuatu perkara.

Novel ini sarat dengan bahan-bahan ilmiah di dalamnya. Serasa begitu banyak sehingga terdapat istilah-istilah yang digunakan tidak dapat difahami dengan mudah. Melainkan perlu dibaca dengan tumpuan yang penuh.

Bagi mb secara peribadi, mb telah membaca mengenai teori Darwin dan para pendukungnya di banyak tempat. Pernah membaca tulisan-tulisan di buku, menonton VCD-VCD di TV, mendengar ceramah-ceramah dari pensyarah, mungkin sebab itu mb sedikit 'layu' bila mengetahui (setelah membaca beberapa bab) bahawa novel ini tentang 'Charles Darwin'.

Bukan tak bagus, bukan juga bahan yang sudah basi, namun ini hanya pandangan peribadi mb.

Kerana mb sudah mengetahui bicara tentang Darwin dari banyak arah, dan juga pembicaraan tentang Darwin yang mb baca sebelum ini begitu mudah difahami.

Tidak bermaksud novel ini payah untuk dihadamkan. Tapi begitulah, mb merasa banyak perkataan-perkataan, istilah-istilah yang tak pernah di dengar dan kurang difahami.

Namun bukan hanya bukti kebodohsombongan Charles Darwin yang cuba disampaikan melalui novel ini. Novel ini adalah pemenang kategori remaja. Banyak sifat-sifat dan contoh-contoh positif dari watak remaja yang digambarkan antara lain Jaka Sulaiman.

Pemuda tegas, berani, berpendirian yang lantang bangkit melawan jika agamanya dimain-mainkan.

Novel ini berharga hanya RM 19.00 sahaja. Boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Atau di kedai-kedai buku online.

Monday, August 17, 2009

Jendela Menghadap Jalan - Ruhaini Matdarin




  • Judul : Jendela Menghadap Jalan (Tempat Kedua HSKU 2008)
  • Penulis : Ruhaini Matdarin
  • Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
  • Harga : RM 24.00


Novel ini memenangi tempat kedua kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008.

Selepas tamat novel 'Meniti Jalan Hadapan'- pemenang tempat ketiga HSKU 2008 - mb terus membaca novel ini pula.

Supaya dapat menilai sendiri mengapa novel ini mendapat tempat kedua. Pasti ada kelebihannya berbanding dengan tempat ketiga yang baru sahaja habis mb baca.

Jendela Menghadap Jalan di tulis oleh seorang penulis berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Ruhaini Matdarin. Seorang penulis muda kalau boleh disebutkan begitu.

Novel ini memenangi kategori remaja. Kumpulan sasarnya adalah untuk bacaan remaja juga. Tapi tiada salah jika ianya di baca oleh yang telah lewat usia remajanya.

Memenangi kategori remaja bermaksud isinya dan kandungan novel itu serta penyampaian dan penceritaannya mesti berkait rapat dengan remaja.

Juga harus baginya memiliki sebuah watak remaja yang berpengaruh di dalamnya.

Dan watak itu diberi nama Lili.

Lili seorang anak remaja yang menetap di bandar. Pulang ke kampung pada musim cuti persekolahan atas desakan ibunya. Demi untuk tidak melukakan hati seorang ibu, Lili menurut walau batinnya melawan.

Di kampung, ada beberapa watak remaja lagi yang diperkenalkan kepada para pembaca. Ada yang menjadi rakan bagi Lili seperti, Danel dan Geetha.

Ada juga watak remaja yang menjadi antagonis dalam novel ini seperti Rafik dan Haziq.

Watak remaja jahat (pada awalnya dan berubah menjadi baik pada akhirnya) yang sengaja diwujudkan sebagai memberitahu kepada para pembaca remaja sekalian yang sekali jahat bukan selama-lamanya jahat.

Juga sebagai motivasi bagi para remaja bahawa masih belum terlambat untuk berbuat baik dan bertaubat.

Lili menetap di kampung bersama dengan datuk dan neneknya di sebuah rumah kampung yang mana jendelanya menghadap jalan.

Duduk di kampung yang Lili dapat rasakan penduduknya pelik-pelik semua.

Mb sedikit 'hilang' bila membaca novel ini sebenarnya. Permulaan yang baik bagi mb apabila penulis cuba membawa watak datuk yang sangat berpegang kepada adat tradisional disamping watak remaja yang dihadirkan sama sebagai 'penentang' kepada adat tradisional datuk itu.

Ianya menjadi menarik membaca hujah-hujah yang dikemukakan untuk memenangkan diri masing-masing.

Si datuk tetap menolak kehidupan moden dengan berpendapat bahawa ia bakal memusnahkan apa yang diwarisi turun temurun.

Si remaja pula dengan tidak menghukum adat tradisional kesemuanya, berpendapat segala yang diciptakan pada zaman moden ini adalah demi untuk memudahkan kehidupan manusia. Menjadikannya lebih senang untuk dikendali.

Senang sekali mb membacanya pada awal-awal bab.

Tapi bila berlakunya kes penculikan terhadap watak Lili ini, semuanya berubah.

Penceritaan lebih tertumpu kepada keluarga Che Jah, ibu kepada watak Rafik dan Haziq yang telah menculik Lili tanpa disengajakan.

Selepas dari kes penculikan itu, keluarga Che Jah yang nampaknya 'terlebih' diceritakan.

Sampai terkadang mb bertanya,'perlukah kejadian culikkan itu berlaku?'

Tapi mb tetap habiskan bacaan walaupun berasa cerita dan tumpuannya telah berubah.

Bukan bermakna selepas dari itu novel ini tidak enak untuk di baca, cuma mb rasa ianya bagai dua kisah yang berbeza.

Kisah Lili dengan datuknya dan kisah Lili bersama keluarga Che Jah.

Tetapi sesuai dengan kategorinya, novel ini sesuai di baca oleh semua golongan remaja sebagai menjadikan contoh keberanian dan kesungguhan watak-watak remaja di dalam novel ini. Terutamanya watal Lili, Danel dan Geetha.

Berketepatan dengan tempat kedua yang dimenanginya, novel ini terasa lebih berisi dan lebih menyerlahkan ciri-ciri remaja yang seharusnya ada dalam diri remaja diluar sana.

Selepas ini pemenang pertama pula akan mb baca. 'Kasih Nan Agung' - Sri Rahayu Mohd Yusop.

Wednesday, August 12, 2009

Meniti Jalan Hadapan - Norziati Mohd Rosman


  • Judul : Meniti Jalan Hadapan (Tempat Ketiga HSKU 2008)
  • Penulis : Norziati Mohd Rosman
  • Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
  • Harga : RM 22.00


Novel ini telah memenangi tempat ketiga kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008.

Siapa Norziati Mohd Rosman?

Untuk mengenali penulis dengan lebih dekat sila layari blog beliau di http://norziati.blogspot.com/

Meniti Jalan hadapan. Apa yang dapat difahami pada mula-mula membaca judul novel ini?

Kosong. Tiada apa yang dapat mb katakan ketika mula-mula melihat dan membaca judul novel ini.

Tak tergambar sedikit apa pun tentang isinya dengan melihat judulnya.

Jadi apa yang membuat novel ini menarik dan mb membelinya?

Rasanya cuma satu juga. Kerana telah memenangi hadiah sastera kumpulan utusan. Pengaruh yang sangat kuat untuk memaksa mb membelinya.

Memang sejak beberapa tahun ini mb gemar mengumpul novel-novel yang telah diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ini.

Mb akan membeli novel-novel dari tempat pertama sampai ketiga, tanpa melihat tajuk apatah lagi melihat nama penulisnya.

Sebab hanya selepas itu mb akan menilai setelah membaca tulisan penulisnya, samada mahu terus 'memburu' tulisan penulisnya ataupun sampai di sini sahaja.

Sebagai contoh, novelis Faisal Tehrani. Novel Faisal yang pertama sekali mb baca adalah novel '1511H [Kombat]'. Yang mana merupakan pemenang tempat pertama kategori novel remaja HSKU 2003.

Sebelum daripada itu, mb tak kenal siapa itu Faisal Tehrani.

Selepas membaca 1511H [Kombat], terus meminati cara dan gaya tulisan saudara Faisal sehingga setiap novel-novel yang ditulisnya mb cari dan beli tanpa melihat kepada tajuknya lagi.

Semuanya bermula dari HSKU.

Novel Meniti Jalan Hadapan berkisar tentang dunia korporat seorang wanita yang bernama Insyirah.

Insyirah seorang wanita yang berpegang teguh kepada prinsipnya. Tidak mudah berubah mengikut keadaan sekeliling.

Pokok utama dalam novel ini adalah mengenai rasuah. Definisi rasuah diterang dan dihuraikan sedari awal bab lagi.

Segala tentang rasuah, pendapat tokoh-tokoh akademik, huraian-huraiannya banyak diterangkan di dalam novel ini.

Bagaimana dapat kita lihat manusia begitu mudah menghalalkan yang haram jika keindahan dunia telah mengaburi dan menapak di dalam hati.

Menerusi watak Syahran ianya jelas kelihatan.

Selain watak Syahran, ada juga watak setiakawan yang cuba ditonjolkan oleh penulis menerusi watak Wan Hazriah.

Wan Hazriah digambarkan sebagai seorang sahabat yang ikhlas jujur dalam persahabatannya. Dia jugalah yang memberi semangat dan rangsangan kepada Insyirah untuk menjadi rakan kongsinya dalam perniagaan yang hendak mereka usahakan sendiri.

Penggunaan bahasa dalam novel ini sangat lancar untuk di baca. Tiada kata-kata bunga yang meleret-leret sehingga memusingkan, tiada perkataan-perkataan yang memeningkan.

Semuanya mudah untuk difahami.

Walaupun novel ini banyak menerangkan tentang makna dan erti rasuah itu, tapi ketika membacanya mb tidak berasa berat untuk menerima dan memahami apa yang cuba penulis sampaikan berkaitan dengan rasuah itu.

Cuma penyudahnya sahaja bagi mb kurang memberi impak. Dan kadang-kadang terasa begitu cepat atau tergesa-gesa mahu novel ini dihabiskan.

Yang lain-lain nampak okey...

Jika berminat, dapatkan novel ini di sini.

Monday, August 10, 2009

WO AI NI ALLAH - VANNY CHRISMA W.


  • Judul : Wo Ai Ni ALLAH - Aku Cinta Allah
  • Penulis : Vanny Chrisma W.
  • Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd
  • Harga : RM 16.50


Judul novel ini sahaja sudah membuat mb tertarik untuk membacanya. Wo ai ni kalau diterjemahkan dalam bahasa melayu bermaksud, 'saya cinta/sayang awak'. Wo Ai Ni ALLAH - Aku Cinta Allah kalau boleh ditulis begitu.

Dari tajuk nya juga sebenarnya sedikit sebanyak telah penulis menceritakan apa yang cuba disampaikan melalui novel ini.

Vanny Chrisma W. penulis novel ini, telah cuba membawakan para pembaca untuk menyelami kisah yang terjadi kepada sebuah keluarga berbangsa Cina.

Seluruh buku ini bercerita tentang keluarga berbangsa Cina tersebut. Kena dengan tajuknya 'Wo Ai Ni ALLAH'. Wo Ai Ni adalah bahasa Cina.

Ateis. Keluarga yang terdiri dari ayah, ibu dan seorang anak perempuan (yang merupakan watak utama) tidak percaya akan wujudnya Tuhan. Mereka ateis semuanya.

Jalan ceritanya mudah. Keluarga ateis ini, lebih-lebih lagi si ayahnya, sedang berusaha mencari Tuhan berdasarkan 'petunjuk' yang dia perolehi.

Dari situ anak kecilnya turut juga dibawa rasa untuk mencari kebenaran apa di manakah Tuhan itu.

Proses untuk mendapat hidayah Tuhan itu bukannya mudah. Bermacam yang terpaksa dihadapi. Di keji, di hina bahkan di tuduh gila oleh masyarakat sekeliling.

Ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada anak perempuannya. Sehingga dia berhenti dari sekolahnya kerana tidak tahan menerima tuduhan-tuduhan dan ejekan dari rakan-rakannya.

Dan lebih parah lagi dia terpaksa hidup seorang diri apabila ayahnya meninggal dunia akibat di bunuh. Ibunya pula membuangnya kerana tidak sanggup lagi melihat anaknya itu yang sudah gila mencari Tuhan seperti ayahnya juga.

Itu antara yang dapat digambarkan mengenai novel 'Wo Ai Ni ALLAH' ini.

Apa yang menarik tentang novel ini?

Melihat kepada isu yang cuba di bawa oleh penulis, Vanny Chrisma W., novel ini cuba mengutarakan senario yang kini telah banyak terjadi.

Golongan-golongan yang anti kepada Tuhan ini atau golongan yang tidak percayakan Tuhan ini jika dilihat kini, adalah amat membimbangkan.

Jika dalam novel ini golongan ateis ini diceritakan melalui sebuah keluarga Cina, namun hakikat sebenar tidak sedikit yang bukan berketurunan Cina yang menganuti fahaman ateis ini.

Bahkan ianya telah merusuk masuk ke dalam fikiran anak-anak muda berbangsa melayu sekalipun.

Fahaman-fahaman sebegini begitu bahaya jika tidak dikawal. Fahaman yang menidakkan kuasa Tuhan dan hanya berpandu kepada akal dan logik semata-mata.

Itu yang disebalik novel ini.

Untuk mengetahui kesudahan novel ini, sila dapatkan novel 'Wo Ai Ni ALLAH' tulisan Vanny CHrisma W. di toko-toko buku berhampiran anda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...